Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Projek tambak laut diluluskan meskipun ada penemuan artifak bersejarah

Projek penambakan laut yang dinamakan sebagai projek AJA di Klebang, Melaka, boleh membantutkan pencarian artifak sejarah selain mendatangkan kesan buruk terhadap kehidupan marian dan menjejaskan kehidupan nelayan.

Laporan Penilaian Impak Warisan (HIA) bagi projek itu menyatakan nelayan, Rashid Mad Zain (di atas) menemui porselin dari China semasa tempoh peralihan antara dinasti Ming dan Qing, serta barangan dari Eropah.

Projek AJA merupakan sub-projek daripada projek mega Zon Ekonomi Pesisir Pantai Melaka (M-WEZ).

Pemajunya ialah Konsortium Pembangunan Tanah Laut (Melaka) Sdn Bhd (KPTLM) manakala kawasan konsesi itu dimiliki empat syarikat yang dikaitkan dengan pemimpin Umno Melaka.

Baca: Dua pemimpin Umno Melaka dikaitkan dengan projek tambak laut

25 peratus tapak projek bertindih dengan kawasan warisan

Menurut laporan HIA, selain Rashid, individu lain juga menemui artifak ketika memancing, membuktikan kawasan pantai Melaka kaya dengan khazanah tersebut.

Ini termasuk bangkai kapal, senjata, seramik dan syiling dari zaman Kesultanan Melaka, Portugis, Belanda dan zaman penjajahan British.

Pencarian arkeologi di dasar laut pada awal tahun 2000 merekodkan antara 30 dan 40 kapal karam di kawasan muara Melaka - tetapi ekspedisi penuh tidak dijalankan kerana pelbagai kekangan.

Tambahan pula, 25 peratus atau 75 ekar tapak bagi tapak cadangan tebus guna telah diwartakan sebagai kawasan warisan negara yang dilindungi sejak 2010.

Laporan HIA menyatakan Jabatan Warisan Negara (JWN) Melaka mahu pemaju mendapat kebenaran daripada kerajaan persekutuan sebelum aktiviti perlombongan dijalankan di kawasan yang dilindungi.

“Seksyen 64(2) Akta Warisan Kebangsaan 2005 menyatakan bahawa aktiviti dalam zon dilindungi tidak boleh dijalankan melainkan ada kelulusan bertulis daripada pesuruhjaya warisan,” tambahnya.

Penyelam temui tembikar Cina purba

Bagi memenuhi syarat yang ditetapkan Akta Warisan Kebangsaan, pasukan HIA telah mengambil pelbagai langkah untuk membuat penilaian terhadap sejarah tapak yang dicadangkan.

Ini termasuk menjalankan temu bual dengan nelayan, mengesan tapak warisan yang berpotensi di dasar laut serta mengerahkan pasukan penyelam untuk mencari kawasan berpotensi.

Pasukan itu berkata ia hanya berjaya menemui tembikar dari China sejak abad ke-17 selepas membuat pencarian di kawasan itu selama lima hari.

 “Penemuan menunjukkan tiada peninggalan sejarah dalam air yang penting seperti bangkai kapal dan artifak seperti porselin, syiling, manik atau struktur bangunan lama di kawasan projek,” katanya.

Laporan itu seterusnya merumuskan bahawa artifak yang ditemui pada masa lalu tidak mempunyai nilai warisan "sejagat yang luar biasa" dan oleh itu projek yang dicadangkan tidak harus dihentikan.

Jabatan Warisan mahu kawasan pencarian diperluaskan

Bagaimanapun, JWN kelihatan tidak yakin dengan penjelasan itu.

Menurut lampiran dalam laporan HIA,  JWN meminta pasukan HIA memperluaskan kawasan carian, menambah baik dokumentasi dan menyerahkan semula laporan itu Januari lalu.

Bagaimanapun, dokumen lampiran menyatakan bahawa laporan itu tidak diserahkan semula.

Mei lalu, JWN meminta pasukan HIA menjalankan satu lagi pencarian yang disasarkan di kawasan di mana tembikar Cina ditemui, bagi memastikan ia bukan dari bangkai kapal berhampiran.

Bagaimanapun, pemaju berkata tembikar-tembikar berkenaan ditemui dalam jarak 20 meter dari kawasan perlindungan warisan. Ia juga berjanji untuk menjalankan kerja-kerja menyelamat dan memaklumkan pihak berkuasa jika lebih banyak artifak ditemui.

Pada 1 Sept tahun ini, JWN memberi kelulusan bersyarat untuk projek yang dicadangkan itu.

Laporan HIA itu disediakan oleh Asyaari Muhamad, seorang penyelidik arkeologi maritim kanan dari Institut Alam & Tamadun Melayu UKM.

Laporan itu diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar, bersama-sama dengan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi projek berkenaan.

Orang ramai boleh mengemukakan maklum balas mengenai cadangan projek itu sebelum Sabtu ini, 25 Dis.

Malaysiakini telah menghubungi Gene & Quin Holdings (syarikat induk Konsortium Pembangunan Tanah Laut (Melaka)) untuk memberikan komen.

Lihat Komen
ADS