Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tolak bahas isu banjir, Azhar terkhilaf tafsir peraturan Dewan Rakyat'
Diterbitkan:  Dec 23, 2021 10:38 AM
Dikemaskini: 2:57 AM

Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun telah terkhilaf dalam membuat keputusan apabila menolak gesaan ahli parlimen untuk membahaskan isu banjir besar yang melanda negara pada sidang parlimen Isnin lalu, kata peguam Haniff Khatri Abdulla.

Azhar memetik peraturan 18 Mesyuarat Dewan Rakyat bagi menyokong keputusannya, yang menetapkan bahawa ahli parlimen perlu memberi notis bertulis sekurang-kurangnya 24 jam sebelum membawa usul tergempar untuk dibahaskan.

Bagaimanapun, Haniff berkata memandangkan perkara itu adalah isu terdesak, Speaker mempunyai budi bicara di bawah Peraturan 100 Mesyuarat Dewan Rakyat untuk mengetepikan keperluan notis 24 jam.

Katanya, lebih-lebih lagi satu-satunya perkara dalam agenda parlimen pada hari itu untuk bacaan kali kedua iaitu cadangan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) – telah ditangguhkan kira-kira pukul 11.30 pagi pada hari berkenaan.

“Masih berbaki sesi pagi dan keseluruhan sesi petang pada persidangan 20 Dis, memberikan masa hampir empat jam untuk membolehkan isu banjir besar dibahaskan, tanpa mengganggu mana-mana agenda mesyuarat Dewan Rakyat yang sudah pun diselesaikan,” kata Haniff dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Peraturan 100 Mesyuarat Dewan Rakyat berbunyi: Semua perkara yang tidak disyaratkan terang-terang dalam Peraturan-peraturan ini dan semua perkara berkenaan dengan menjalankan Peraturan- peraturan ini pada perkara satu persatunya, hendaklah diaturkan menurut cara yang tidak berlawanan dengan Peraturan-peraturan ini, sebagaimana yang diperintahkan oleh Tuan Yang di-Pertua dari satu masa ke satu masa.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin berkata Azhar "terlalu literal" dalam mentafsir perintah tetap.

“Jika nak benar bahasa ada seribu alasan, jika tak mahu bahas pun ada seribu dalih. Ambil dan pilih!

“Sejak bila usul lisan dalam keadaan tergempar tidak boleh? Malah di mahkamah, dalam keadaan tertentu usul lisan boleh diterima,” kata Hanipa yang juga bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang).

Banjir baru-baru ini berlaku berikutan pembentukan Lekukan Tropika 29W melanda kawasan berhampiran Kuantan pada 17 Dis, membawa bersama hujan lebat dan banjir besar di tengah Semenanjung Malaysia.

Pahang dan Selangor antara negeri yang paling teruk terjejas akibat bencana berkenaan.

Pada 20 Dis, persidangan Dewan Rakyat ditambah satu hari lagi untuk membahaskan pindaan Akta 342, yang secara kontroversi menaikkan kadar denda terhadap pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19.

Bagaimanapun, perbahasan itu ditangguhkan ke sesi Dewan Rakyat akan datang hasil kesepakatan bipartisan mengenai pindaan rang undang-undang berkenaan.

Dilaporkan bahawa sebelum penangguhan itu, beberapa ahli parlimen di kedua-dua belah pihak telah membangkitkan isu mengenai banjir dan usaha menyelamat serta bantuan yang sedang dijalankan.

Bagaimanapun, Azhar enggan menerima usul berkenaan dan dilaporkan berkata terdapat perkara lain yang dijadualkan untuk dibahaskan.

Azhar juga menegaskan bahawa mengikut peraturan tetap, seorang menteri perlu mengambil inisiatif untuk memberi penjelasan mengenai perkara itu dan memberi notis kepada speaker.

"Saya tidak mempunyai kuasa untuk membenarkan lompat dari satu isu ke isu yang lain," katanya seperti dilapor portal berita The Vibes.

Dalam laporan Bernama semalam, Azhar mempertahankan pendiriannya dan menafikan dakwaan di media sosial bahawa dia telah menolak usul tergempar di bawah Perintah 18(1) untuk membahaskan isu itu.

Sebaliknya, katanya, tiada siapa yang mengemukakan sebarang notis untuk usul sedemikian.

“Untuk hal banjir ini, Ahli-Ahli Parlimen boleh sahaja memberikan notis kepada saya melalui WhatsApp dan sebagainya sebelum hari tersebut (20 Dis).

"Malah, satu usul bertulis boleh sahaja dibuat pada pagi 20 Dis 2021. Namun, tidak ada seorang pun yang berbuat demikian,” katanya.

Azhar berkata usul diperlukan bagi membolehkan dia mengemukakan masalah kepada Dewan Rakyat untuk dibahaskan dan dijawab oleh menteri serta membolehkan menteri yang berkenaan membuat persiapan bagi menjawab perkara yang dibangkitkan semasa perbahasan.

Lihat Komen
ADS