Perikatan Akhbar Asia Tenggara (Seapa) memandang berat berita penggabungan dua syarikat media utama di Malaysia Kumpulan Utusan dan New Straits Times Press (NSTP).

Laporan akhbar pada 28-29 November berkata, NSTP merancang mengambilalih akhbar Utusan Malaysia untuk mengukuhkan penerbitan akhbar bahasa Melayu. NSTP menerbitkan akhbar Berita Harian dan Harian Metro .

Semalam, Kumpulan Utusan dan NSTP menggantung urusniaga saham masing-masing di Bursa Malaysia, sementara menunggu pengumuman penting mengenai penggabungan itu Isnin ini.

Akhbar ekonomi The Edge melaporkan, penggabungan terebut akan menandakan penyatuan terbesar media cetak berbahasa Melayu.

"Dalam hal ini, Seapa ingin menegaskan bahawa syarikat media tidak seharusnya dilihat sebagai entiti perniagaan semata-mata dengan keuntungan sebagai matlamat utamanya," kata Seapa yang berpejabat di Bangkok.

"Tanggungjawab sosial mereka tidak seperti entiti korporat yang lain adalah lebih besar dan amat penting dalam menyediakan platform awam kepada rakyat untuk menggunakan hak mereka untuk bersuara dalam proses demokrasi.

"Oleh itu, apa yang membimbangkan ialah penggabungan ini akan membawa kepada monopoli maklumat dan pengaruh politik," tambahnya.

Kumpulan Utusan dan NSTP belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenainya. Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia, kedua-duanya menyatakan mereka sedang meneroka opsyen untuk meningkatkan lagi nilai pemegang saham, tetapi tiada rancangan konkrit diputuskan setakat ini.

Dikuasai parti pemerintah

Penggabungan tersebut akan menyaksikan parti pemerintah, Umno, yang memiliki 50.46 peratus Utusan Melayu, menjadi pemilik sebahagian besar media tempatan, melalui pemilikan bersama dengan Media Prima Bhd.

Utusan Melayu juga menerbit tabloid Kosmo! dan majalah, manakala Media Prima memegang 32.94 peratus dalam NSTP, dan stesen TV3, ntv7, 8TV, Channel 9 dan stesen radio Fly FM dan Hot FM.

Selain Berita Harian dan tabloid Harian Metro , NSTP juga menerbitkan akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times dan Malay Mail .

Seapa berkata, dengan Umno menguasai hampir kesemua saluran maklumat, ia dibimbangi akan menjejaskan kebabasan awam dan hak rakyat untuk bersuara.

Pada masa ini pun, katanya, media perdana yang dikuasai kerajaan mempunyai rekod yang kurang baik dalam menyiarkan pertukaran pandangan, idea dan maklumat.

"Hakikat bahawa Malaysia merupakan sebuah negara berbilang budaya, maka amat penting sekali tiada wujud monopoli media, terutama oleh parti pemerintah," kata Seapa lagi.

Tegasanya, sebarang monopoli media seumpama itu mempunyai risiko peminggiran seterusnya terhadap suara yang tidak sehaluan dengan mereka.

Pemilikan media kerajaan

Seapa berkata, ia menyokong desakan Pusat Kewartawanan Independen (CIJ) supaya kerajaan memansuhkan syarat lesen di bawah Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dan sebaliknya, menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Parlimen mengenai kebebasan Media.

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, CIJ berkata, penggabungan tersebut akan "menghakis semua sisa-sisa kebebasan bersuara yang masih ada."

Kerajaan menguasai secara langsung atau tidak langsung hampir keseluruhan media di negara ini.

Di samping enam stesen radio dan dua stesen TV milik kerajaan di bawah Radio Television Malaysia (RTM), parti pemerintah seperti Umno menguasai Kumpulan Utusan dan mempunyai hubungan rapat dengan syarikat media Media Prima Bhd.

MCA melalui syarikat pelaburannya, Huaren memiliki Star Publications, yang menerbitkan akhbar berbahasa Inggeris, The Star , majalah dan stesen radio FM 988 dan Red FM. Ia kini memiliki 20 peratus ekuiti dalam Nanyang Press, yang menerbitkan akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau dan China Press .

Manakala sebuah lagi parti komponen Barisan Nasional (BN), MIC pula mempunyai kaitan rapat dengan pemilik akhbar utama bahasa Tamil Tamil Nesan dan Malaysian Nanban . Berita asal