Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syahredzan: K'jaan patut bertindak, bukannya cuba tutup mulut pengkritik
Diterbitkan:  Dec 24, 2021 10:17 AM
Dikemaskini: 2:17 AM

Kerajaan seharusnya mengambil tindakan sewajarnya dan bukannya cuba menutup mulut orang ramai daripada mengkritik pengurusan banjir di media sosial, kata peguam Syahredzan Johan, yang juga setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang.

Gesaan itu dibuat selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat permintaan kepada Twitter untuk membuang ciapan yang mengkritik tindakan kerajaan dalam menangani banjir baru-baru ini. Twitter bagaimanapun menolak permintaan SKMM.

“Adalah jelas bahawa kerajaan tidak puas hati dengan kritikan rakyat tentang bagaimana ia menguruskan banjir apabila telah cuba memadamkan hantaran (kritikan) sedemikian.

“Kerajaan harus bermuhasabah diri dan menangani kelemahan serta kesiapsiagaan menghadapi banjir sebegitu bagi memastikan ia tidak berulang, bukannya cuba bertindak secara tidak berperlembagaan.

"Kerajaan harus segera mengarahkan SKMM untuk berhenti daripada cubaan menutup mulut rakyat dan cuba memadam komen pengkritik," kata Syahredzan dalam satu kenyataan.

Hak rakyat untuk menyuarakan pendapat

Syahredzan turut mengingatkan kerajaan bahawa kebebasan bersuara dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Hak ini tidak boleh disekat dengan sesuka hati. Dalam negara demokrasi seperti Malaysia, rakyat mempunyai hak untuk mengeluarkan pendapat, pandangan dan kritikan terhadap mana-mana kerajaan tanpa sekatan yang tidak wajar dan tidak munasabah," katanya lagi.

Sebelum ini seorang pengguna Twitter berkata dia telah menerima e-mel daripada Twitter memaklumkan kepadanya tentang permintaan yang dibuat oleh SKMM kepada laman blog mikro itu untuk mengeluarkan catatan Twitternya.

"Demi kepentingan ketelusan, kami menulis untuk memaklumkan anda bahawa Twitter telah menerima permintaan daripada SKMM mengenai akaun Twitter anda yang mendakwa kandungan berikut melanggar undang-undang Malaysia.

"Kami tidak mengambil sebarang tindakan ke atas kandungan yang dilaporkan pada masa ini akibat permintaan ini," kata e-mel dari Twitter.

Berdasarkan e-mel itu, kandungan yang SKMM mahu keluarkan termasuk ciapan netizen mengkritik acara kutipan derma banjir yang melibatkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun.

Kandungan lain yang dipertikaikan SKMM ialah ciapan yang mengkritik Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Noh Omar berhubung kenyataannya tentang kelayakan mangsa banjir untuk menuntut bantuan kerajaan.

Lihat Komen
ADS