Dua persatuan hari ini menggesa kerajaan supaya membuka semula pengambilan pekerja warga asing untuk bekerja di industri cuci kereta yang kini berdepan isu kekurangan pekerja kritikal.
Naib Presiden Persatuan Pencucian dan Pembersihan Kenderaan dan Bangunan Malaysia (Mabco) Fariz Ishak berkata bahawa selain kurang minat warga tempatan kerja dalam sektor itu, keputusan kerajaan masih membekukan pengambilan pekerja asing juga mengakibatkan ramai pengusaha cuci kereta gulung tikar.
"Kami mendapati yang pengusaha-pengusaha cuci kereta menghadapi masalah mengambil pekerja atau tenaga kerja di dalam industri ini. Kami tiada pilihan sebab dah cuba memberi peluang kepada pemuda-pemuda tempatan atau pekerja tempatan.

"Tetapi mereka lebih suka pergi kerja tempat lain seperti Lalamove dan Grab.Jadi, sekarang ini kami tiada pilihan terpaksa mencari tenaga kerja warga asing.
"Maka, kami persatuan Mabco mewakili lebih 400 pengusaha cuci kereta seluruh negara meminta kerajaan agar membuka semula pengambilan pekerja asing bagi industri cuci kereta," katanya.
Terdahulu, Mabco menyerahkan memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) di Putrajaya, pagi tadi.
Dalam memorandum itu, Mabco meminta agar kerajaan memberi kelulusan semula kepada pengusaha cuci kereta mengambil pekerja asing sebagai sub sektor di bawah sektor servis.
Untuk rekod, industri cuci kereta antara sektor perkhidmatan masih tidak dibenarkan mengambil pekerja asing selepas ianya dibekukan pada tahun 2013.
Selain sektor cuci kereta, sub sektor lain masih tidak dibenarkan mengambil pekerja asing adalah industri tekstil, tukang emas, gunting rambut, kedai runcit, perniagaan barang lusuh, dan pengedaran surat khabar.
Pengumuman Menteri KSM M Saravanan baru-baru ini bahawa kerajaan membenarkan pekerja asing di beberapa sektor tidak termasuk kepada sub sektor ini.
Sementara itu, Fariz berkata bahawa kerajaan sebelum ini membenarkan pengambilan pekerja asing bagi sektor cuci kereta.
"Kami dibenarkan hanya ketika kerajaan mengumumkan program 6P dan program penempatan semula. Masa itu, permit kerja ditulis sebagai general worker at car wash (pekerja am di pusat cuci kereta) maksudnya memang khas untuk industri pencucian kereta.
"Tetapi, masa kita memperbaharui permit kerja tahun lalu, dia orang ubah kategori ditulis sebagai cleaner (pembersih) dan kami menghadapi masalah.
"Khususnya, kalau pihak imigresen serbu premis kami, dia orang nampak permit itu dianggap pekerja itu salah, tapi sebenarnya itu bukan kesalahan kami," katanya.
Sementara itu, Setiausahanya R Suresh Rao berkata bahawa keputusan kerajaan memaksa ramai pengusaha cuci kereta menggunakan taktik 'haram' untuk mengambil pekerja asing.

"Kami diberitahu, pengusaha-pengusaha cuci kereta ini mengambil pekerja asing di bawah kategori tukang bersih (cleaner) sebelum digunakan sebagai pencuci kereta.
"Ini memang salah dari sisi undang-undang. Tapi, mereka tiada pilihan dengan keputusan kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing bagi sektor ini.
"Kami meminta kerajaan agar membuka semula pekerja asing bagi industri cuci kereta dengan secepat mungkin," katanya.
