mk-logo
Berita
Tak berhati perut tunggu arahan PM baru nak balik, kata Salahuddin
Diterbitkan:  Dec 24, 2021 7:12 PM
Dikemaskini: 11:12 AM

Tindakan anggota kabinet yang masih meneruskan percutian mereka - termasuk di luar negara - ketika rakyat sedang menghadapi bencana disifatkan Salahuddin Ayub sebagai tidak berhati perut.

Timbalan Presiden Amanah itu berkata tidak sepatutnya berlaku seorang perdana menteri perlu mengeluarkan arahan agar anggota kabinetnya membatalkan cuti mereka dalam keadaan sekarang.

Justeru kata Salahuddin apa yang berlaku sekarang sekali gus memperlihatkan kepimpinan kerajaan sekarang tidak memiliki keprihatinan kepada nasib rakyat.

"Saya pernah jadi menteri... kalau kita jadi menteri ni, dalam keadaan kecemasan atau pun berlaku bencana pada negara, sampai perdana menteri suruh balik (daripada percutian), saya rasa menteri ini memang tak ada hati perutlah.

"Maknanya, mereka tidak ada keprihatinan langsung," katanya kepada Malaysiakini petang ini.

Banjir besar melanda sebahagian Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan pada hujung minggu lalu selepas berlaku hujan lebat berpanjangan. Bencana alam juga dilaporkan berlaku di beberapa negeri.

Taman Sri Muda dan Hulu Langat di Selangor, serta Bentong, Mentakab dan Temerloh adalah antara kawasan paling teruk terjejas setakat ini.

Saiz kabinet dah besar 

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 21 Dis lalu mengakui pengurusan bencana di pihak kerajaan adalah lemah dan berjanji untuk menambah baik kekurangan itu pada masa depan.

Petang tadi Ismail Sabri mengarahkan anggota kabinet untuk membatalkan cuti masing-masing manakala menteri yang sedang berada di luar negara hendaklah pulang segera.

Menurut perdana menteri, pembatalan cuti itu berkuat kuasa sehingga masalah bencana banjir selesai.

Setakat ini tidak dapat dipastikan siapa anggota kabinet yang sedang berada di luar negara. Bagaimanapun berdasarkan kenyataan Ismail Sabri, dipercayai ada beberapa daripada menteri negara memang tiada dalam negara ketika ini.

Sehingga petang ini seramai 41 orang sudah disahkan meninggal dunia akibat bencana banjir, manakala lapan yang lain masih hilang.

Salahuddin berkata tidak wajar sama sekali anggota kabinet menunggu arahan daripada perdana menteri sebelum membatalkan cuti masing-masing.

"Tak ada hati perut bagi saya, sampai perdana menteri suruh balik baru nak balik," katanya.

Dia yang pernah berkhidmat sebagai menteri pertanian dan industri asas tani menambah mungkin ada antara menteri terbabit sudah berada di luar negara atau memulakan cuti sebelum bencana banjir berlaku.

"Mungkin mereka pergi dulu (sebelum bencana banjir) dan hak (menteri) bercuti. Itu kita tak boleh halang, mungkin cuti hujung tahun dan mungkin belum berlaku apa-apa.

"Tapi apabila berlaku sesuatu pada negara, kita kena balik tanpa perlu disuruh, mesti ambil tanggungjawab untuk balik sebab gaji kita ini dibayar oleh rakyat.

"Kita kena prihatin dengan rakyat dan negara, sepatutnya balik sendiri, bukan tunggu perdana menteri arah baru balik," katanya.

Tambah Salahuddin, apa yang berlaku kini memang mengecewakan orang ramai dan memperlihatkan kualiti kabinet yang ada sekarang.

"Ini itulah kualiti kabinet yang ada hari ini. Saiz besar, siap dengan menteri tugas-tugas khas, tapi kalau beginilah perangainya, memang gagallah.

"Ini memang kerajaan yang betul-betul gagal," katanya.

Lihat Komen
ADS