Rufaqa Corporation Sdn Bhd yakin perniagaannya tidak terjejas walaupun pihak berkuasa agama mendakwa syarikat tersebut mempunyai hubungan dengan kumpulan Al Arqam yang diharamkan pada 1994.
Sebaliknya, Timbalan Pengarah Rufaqa, Laila Ahmad berkata, pihaknya berazam untuk membesarkan operasi syarikat berkenaan, terutama dalam bidang perniagaan utamanya kejuruteraan, restoran, teknologi dan perniagaan runcit.
"Setakat ini, belum ada pelanggan yang menarik diri atau lari dari berurusan dengan Rufaqa, mereka tahu apa yang berlaku.
"Operasi syarikat berjalan seperti biasa dan kita yakin imej buruk yang cuba dipaparkan, tidak menjejaskan syarikat. Kami tidak akan menghentikan operasi yang dimulakan sejak 10 tahun lalu, tetapi akan memperbesarkannya lagi," katanya ketika dihubungi hari ini.
Jumaat lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan dua orang kuat Rufaqa Setiausaha Syarikat, Zulkifli Awang Kechik dan ahli lembaga pengarah, Abu Zarim Tashrim atas dakwaan cuba menghidupkan semula Al-Arqam.
Sebelum itu, empat orang "sheikh" yang dikaitkan dengan Rufaqa, ditahan di satu ceramah di sebuah premis di Shah Alam.
Laila merupakan menantu Ashaari Muhammad, bekas pemimpin Al-Arqam yang diharamkan. Ashaari adalah pengerusi Rufaqa dan menguasai kira-kira 75 peratus pegangan dalam syarikat tersebut.
Pekerja komited
Menurut Laila lagi, Rufaqa mempunyai rangkaian restoran di Australia, Jordan dan Syria serta memiliki kilang tekstil di Indonesia dan butik pakaian di Perancis.
"Sebelum ini Rufaqa membekal alat mengesan kerosakan untuk sektor kejuruteraan di Kertih, Terengganu," katanya lagi.
Laila berkata, kekuatan Rufaqa ialah pekerjanya sangat gigih dan komited untuk memajukan perniagaan sebagai wadah untuk memperkuatkan ekonomi umat Islam.
Katanya, ia dapat dibuktikan apabila Rufaqa tidak pernah membuat sebarang pinjaman bank untuk memulakan perniagaan dan ini merupakan kejayaan membanggakan.
Beliau berkata, adalah sesuatu yang tidak mudah untuk memulakan perniagaan di dalam keadaan ekonomi negara merudum pada 1997.
"Bagi perniagaan di dalam negara, antara sektor yang paling mendapat sambutan ialah perkhidmatan rawatan bersalin yang disediakan di Bandar Country Homes.
"Ini kerana bayaran yang dikenakan murah dan dikendalikan sepenuhnya oleh doktor wanita, selain perkhidmatan yang cekap," katanya lagi.
