Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Hati tak tenteram kerana banjir, saya beli tiket dan terus balik'
Diterbitkan:  Dec 27, 2021 12:51 PM
Dikemaskini: 4:56 AM

Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu yang didakwa ‘hilang’ ketika banjir berkata dia hanya berada di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), selama 12 jam.

Timbalan presiden Bersatu berkata dia pada mulanya ke sana untuk bertemu anak-anak yang berada di United Kingdom (UK).

Katanya, pertemuan dibuat di Dubai kerana terdapat kes Omicron yang tinggi di UK.

Bagaimanapun, katanya, selepas banjir, dia memutuskan untuk pulang ke Malaysia.

“Memang saya ada mohon cuti dan bila diluluskan, saya ke Dubai pada hari Rabu lalu untuk bertemu anak-anak.

“Namun begitu, melihatkan kepada keadaan banjir yang melanda negara, hati saya jadi tak tenteram.

“Jadi, saya buat keputusan untuk beli tiket pulang hanya selepas kira-kira 12 jam berada di sana.

“Saya sempat duduk berbual seketika dengan anak-anak sebelum berlepas pulang pada pukul 8 pagi Khamis, sebelum arahan pulang dibuat perdana menteri,” katanya kepada UtusanTV.

Anggota parlimen Tambun, Perak itu kini menjalani kuarantin kendiri di ibu negara.

Mohon maaf, akui kelemahan

Mengakui memahami kekecewaan dan penderitaan rakyat, dia bagaimanapun meminta maaf dan mengakui kelemahan.

“Saya tahu saya penjawat awam, saya sedar kepentingan rakyat lebih didahulukan. Itu pengorbanan yang perlu dibuat.

“Saya minta maaf, saya mengaku ada banyak kelemahan. Walaupun saya menteri dan tidak sempurna tetapi tidak sampai tahap mahu menyisihkan rakyat.

“Saya faham semua penderitaan kerana saya juga pernah berada dalam situasi sukar. Tiada kerja dan sebagainya,” dia dipetik sebagai berkata.

Faizal berkata dia telah mengadakan mesyuarat maya bagi menggerakkan sukarelawan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membantu mangsa banjir.

Lihat Komen
ADS