Padah menjual rantai emas yang dicuri, seorang wanita yang juga pembantu kantin sekolah dihukum penjara selama enam bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini.
Tertuduh, Nazrini Shuhada Abdullah, 27, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.
Dalam prosiding itu, tertuduh didakwa memindahkan harta curi iaitu dengan menjual seutas rantai leher emas seberat 14.72 gram milik seorang wanita warga emas berusia 81 tahun kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) Smart Venture Sdn Bhd yang diketahui bahawa barangan tersebut merupakan harta curi.
Kesalahan itu dilakukannya di sebuah rumah di Perumahan Desa Darul Naim, Mukim Gunung, pada 30 November lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Atikah Abd Halim.
Terdahulu, Asmah memohon mahkamah menetapkan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran agar tidak melakukan kesalahan sama selepas ini.
Siti Atikah dalam rayuannya memohon hukuman penjara yang minimum selepas yakin tertuduh mengambil iktibar atas kesalahan yang dilakukan.
"Pengakuan bersalah tertuduh sudah menjimatkan kos dan masa pihak mahkamah. Selain itu, tertuduh juga menanggung seorang anak berusia dua tahun dan bapanya yang uzur dengan pendapatan RM30 sehari," katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan bermula hari ini.
Sementara itu mengikut fakta kes, tertuduh yang menunggang sebuah motosikal bersama anaknya didapati telah meragut rantai emas dipakai seorang wanita warga emas berusia 81 tahun semasa mangsa berada di rumahnya.
Kejadian itu menyebabkan leher warga emas itu luka selain mengalami kerugian sebanyak RM3,000.
