Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menggesa agar pemimpin tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, direhatkan sementara dan dakwaan dikaitkan dengan dirinya disiasat pihak berkuasa.
Ketua Penerangan Pejuang Ulya Aqamah Husamudin berkata hanya dengan langkah tersebut pihak berkuasa dan kerajaan dapat mengembalikan keyakinan rakyat kepada SPRM.
Katanya peletakan jawatan bekas ahli panel perunding dan pencegahan rasuah SPRM Dr Edmund Terrence Gomez amat mengejutkan dan membimbangkan.
Katanya, sikap sambil lewa panel lain yang tidak mendesak atau mengadakan mesyuarat bagi membincangkan dakwaan dikaitkan dengan Azam itu menimbulkan keraguan dan spekulasi.
Pada masa sama kata Ulya Aqamah, ia sekali gus menimbulkan kesangsian terhadap kewibawaan sebuah organisasi yang ditugaskan untuk mencegah rasuah di negara ini.
"Tuntutan ini perlu diberi keutamaan bagi menyiasat dakwaan salah laku ketua pesuruhjaya SPRM.
"Dia sepatutnya direhatkan daripada tugas bagi memberi laluan kepada siasatan yang harus disegerakan.
"Inilah satu-satunya cara bagi mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap organisasi itu sekali gus menunjukan bahawa wujudnya sistem semak dan imbang yang baik dalam organisasi kerajaan," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Semalam Gomez membuat kejutan apabila mengumumkan peletakkan jawatan tersebut selepas mendakwa panel perunding dan pencegahan rasuah SPRM gagal bertindak terhadap dakwaan ke atas Azam.
Azam dituduh memiliki kira-kira dua juta unit saham dalam sebuah syarikat senarai awam.
Ulya berkata, tugas utama SPRM ialah untuk membasmi rasuah dan melindungi pemberi maklumat yang mengambil risiko untuk mendedahkan sebarang salah laku termasuk 'dalam kelambu' sendiri.
Katanya, jika SPRM tidak lagi boleh dipercayai rakyat, kepada siapa mereka harus meletakkan tanggungjawab berkenaan.
"Kami desak supaya diadakan mesyuarat segera dan siasatan terhadap Azam dimulakan serta-merta bagi mengembalikan nama baik SPRM.
"Di negara kita, mereka yang serius ingin memerangi rasuah, dipaksa untuk meletakkan jawatan, manakala mereka yang didakwa masih mengetuai SPRM.
"Bekas perdana menteri yang didapati bersalah pula masih bebas berkeliaran malah hadir ke persidangan memberi ucaptama.
"Inilah yang terjadi kepada negara kita," tegasnya.
Malaysiakini telah menghubungi Azam dan sedang menunggu maklum balasnya.