Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banjir: SPRM perlu siasat pendedahan Laporan Ketua Audit, kata Yeoh
Diterbitkan:  Dec 28, 2021 3:51 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh mahu SPRM menyiasat lanjut pendedahan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 yang telah memberi amaran bahawa enam kolam takungan banjir telah diluluskan untuk tujuan pembangunan di Kuala Lumpur antara Oktober 2015 dan September 2020.

Mengulas perkembangan banjir yang melanda beberapa negeri akibat hujan lebat minggu lalu, sepanjang tempoh 2015-2020, katanya, Datuk Bandar telah meluluskan 943 kebenaran perancangan walaupun tidak selaras dengan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020.

‘Laporan tersebut juga menyebut perubahan zon guna tanah dan intensiti pembangunan memberi kesan kepada alam sekitar dan pertambahan kepadatan menyebabkan berlakunya pengurangan tanah lapang awam, kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur dan kesesakan lalu lintas.

“Kemungkinan pendedahan yang paling mengejutkan dalam laporan ini ialah enam kolam takungan banjir telah diluluskan untuk tujuan pembangunan (muka surat 6-2).

“Tukar guna ini bukan sahaja menjejaskan kapasiti kolam takungan banjir, malah merencatkan keseluruhan sistem operasi banjir Kuala Lumpur Flood Mitigation seterusnya mendedahkan Bandar Raya Kuala Lumpur kepada risiko berlakunya bencana banjir yang lebih kerap (muka surat 6-19),” katanya, dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Yeoh berkata Laporan Ketua Audit Negara tersebut secara jelas mendedahkan untuk tempoh yang sama dari tahun 2015 hingga 2020, Kuala Lumpur mengalami banjir kilat sebanyak 48 kali.

“Ini juga merupakan pertambahan bilangan banjir kilat dari lima kali pada tahun 2017 kepada 13 kali dalam tahun 2020 (peningkatan hampir 3 kali ganda),” katanya.

Enam kolam takungan berkenaan ialah kolam Batu, kolam Nanyang, kolam Delima, kolam Taman Wahyu, kolam Batu 4 1/2, dan kolam Taman Desa.

Mengikut rancangan awal, kolam Batu, kolam Nanyang dan kolam Delima adalah sebahagian daripada projek kolam tebatan banjir Sungai Jinjang, yang boleh menakung sehingga 2.5 juta meter padu air banjir.

Enam kolam takungan itu sebaliknya diasingkan untuk projek pembangunan, seperti projek pembangunan bercampur, skim perumahan mampu milik, taman rekreasi dan pangsapuri perkhidmatan.

“Saya telah membangkitkan perkara ini semasa persidangan Parlimen baru-baru ini mengenai kurangnya maklum balas dari SPRM berkenaan laporan dan pendedahan ini.

“Kemusnahan yang disebabkan oleh banjir minggu lepas sepatutnya menyedarkan SPRM dan DBKL untuk mengambil tindakan segera.

“Saya tidak akan mengizinkan kejadian banjir di kolam Air dan di Kampung Kasipillay yang berlaku di dalam kawasan Parlimen Segambut tidak dilayan dengan sewajarnya,” kata Yeoh.

Menurutnya, ini akan menjejaskan kapasiti kolam takungan dan melumpuhkan operasi bawah sistem Tebatan Banjir Kuala Lumpur.

“SPRM mesti bertindak dalam tempoh 24 jam dengan melakukan siasatan segera dan memaklumkan hasil siasatan mereka kepada penduduk Kuala Lumpur.

“Semua maklumat secara jelas dinyatakan di dalam Laporan Ketua Audit Negara termasuk kronologi dan kegagalan jawatankuasa yang meluluskan,” katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS