Pengasas Yayasan Chow Kit, Hartini Zainudin menegur Perpustakaan Kuala Lumpur – yang dikendalikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) – selepas dua pelajar pelariann dilarang memasuki perpustakaan berkenaan.
Dalam catatan Twitter hari ini, Hartini berkata dua pelajar pelarian itu hanya mahu membaca di dalam kawasan perpustakaan dan bukan berhasrat untuk meminjam buku.
“Perpustakaan DBKL tidak membenarkan dua anak pelarian masuk membaca. Mereka bukan mahu pinjam buku, hanya membaca di situ.
“Diberitahu mereka tidak boleh masuk. baiklah! Kami akan bina perpustakaan kami sendiri untuk semua kanak-kanak. Sangat marah,” katanya.
Hartini kemudiannya berkata pihaknya akan menyenaraikan buku yang ingin dibaca oleh kanak-kanak tersebut dan mereka akan mencipta ruang sendiri sebagai tempat membaca untuk kanak-kanak berkenaan.
Dalam jawapan kepada individu yang memberikan respons kepada hantaran tersebut, Hartini berkata pelajar itu diberitahu mereka tidak dibenarkan masuk ke perpustakaan kerana merupakan pelarian.
“Cikgu-cikgu akan turun esok untuk membantah. Sebelum saya turun dan menyemburkan kemarahan,” tambahnya dalam jawapan itu.
Hartini juga memberikan maklumat terkini dengan mengatakan jurucakap perpustakaan itu telah menghubunginya.
Jurucakap itu katanya telah memohon maaf dan mengatakan kakitangan mereka tidak sepatutnya menggunakan perkataan 'pelarian'.
"Baik. Maaf diterima. Adakah anda akan benarkan mereka masuk?
"Kami tetap akan buat perpustakaan sendiri," kata Hartini dalam satu lagi catatan Twitter.
Dia menambah ini adalah kali kedua pelajar pelarian tidak dibenarkan memasuki perpustakaan itu, dengan insiden pertama berlaku pada Mac tahun ini.
Jurucakap itu memberitahunya insiden pada Mac itu mungkin disebabkan oleh pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan berkaitan Covid-19, yang hanya membenarkan pelawat yang diberi vaksin memasuki premis berkenaan.
“Saya beritahu dia pada Mac, vaksinasi untuk pelajar masih belum bermula. Dia mengaku. Dia tak dapat berikan penjelasan mengenai soalan saya.
"Untuk yang baru-baru ini, dia kata mesti ada berlaku salah faham," katanya.
