Lee: Johor khuatir pembabitan Spura dalam SJER
Singapura sedar kerajaan Johor khuatir terhadap pembabitan republik itu dalam pembangunan Wilayah Ekonomi Johor Selatan (SJER), kata Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.
Bagaimanapun, katanya, beliau juga sedar Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ada mengatakan beliau inginkan Singapura mengambil bahagian dalam pembangunan SJER, atau apa yang dikenali sebagai Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).
WPI ialah kawasan pembangunan seluas 2,200 km persegi di Johor yang membabitkan pelaburan RM47 bilion bagi menjana pertumbuhan dan aktiviti ekonomi antara tahun 2006 dan 2010, serta RM335 bilion lagi dalam tempoh 15 tahun (2011-2025).
Menurut laporan Bernama, Lee berkata, ahli perniagaan Singapura bagaimanapun menerima "isyarat yang pelbagai" dari Johor.
Katanya beliau faham bahawa dari semasa ke semasa akan timbul isu-isu dua hala yang perlu diuruskan, tapi secara keseluruhannya, hubungan adalah baik, menurut laporan itu.
Harap akan reda
"Kita bernasib baik kerana banyak syarikat-syarikat Malaysia mempunyai kepentingan di Singapura, dan saya berharap banyak lagi syarikat-syarikat Malaysia akan datang," kata beliau sebagaimana yang dipetik laporan The Straits Times .
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mewujudkan hubungan ekonomi yang lebih rapat antara kedua negara.
Bercakap pada persidangan People's Action Party (PAP), Lee menyuarakan harapan agar semua perkara itu akan selesai tidak lama lagi.
"Kita berharap isyarat yang pelbagai ini akan reda tidak lama lagi supaya pelaburan-pelaburan akan menjadi lebih lancar," katanya menurut laporan berita The Straits Times lagi.
Lee juga berkata hubungan dengan Malaysia semakin bertambah baik sejak Abdullah menjadi Perdana Menteri tiga tahun lalu.
Reaksi MB Johor
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman menolak tanggapan Lee bahawa WPI anti-Singapura.
"Saya hairan dengan kenyataan (Lee) dan saya tidak pernah membuat sebarang kenyataan mengenainya," kata Abdul Ghani ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.
Menurutnya, Johor menerima banyak pelaburan dari Singapura dan WPI juga terbuka kepada semua pihak, termasuk pelabur dari republik itu.
WPI, katanya, adalah projek pembangunan pelbagai sektor yang terbuka kepada pelabur dari mana-mana sahaja.
Mengenai pelaburan Singapura di Johor, Abdul Ghani berkata, republik itu kini jatuh ke tangga ketiga selepas Holland dan Korea Selatan dalam tempoh dua tahun yang lalu.