Tiga orang pengawas yang dilantik mengendalikan pengiraan undi dalam pemilihan tahunan Majlis Peguam, memutuskan tidak meneruskan proses itu selepas badan yang mengawalselia profesyen guaman itu, membuat laporan polis ekoran pendedahan cubaan menipu dalam pemilihan tersebut.

Dalam perbincangan yang diadakan pagi tadi, mereka sebulat suara bersetuju bahawa tidak wajar untuk terus membuat pengesahan kertas undi bagi mengelak dituduh mengganggu siasatan polis.

S Radhakrishnan seorang daripada pengawas tersebut berkata mereka meminta Majlis Peguam pergi ke pejabat majlis itu pagi ini untuk membuka peti undi dan mengesahkan kertas undi.

"Sepucuk surat yang ditandatangani kami bertiga berhubung keputusan kami menyerahkan perkara ini kepada polis telah diserahkan kepada pejabat majlis itu," katanya dalam laporan Bernama hari ini.

Radhakrishnan merupakan perunding di syarikat guaman Shearn Delamore & Co. Dua lagi pengawas ialah Datuk Dr Yaacob Hussein Merican, juga perunding di Tetuan Salleh Abas Yaacob and Sofiah, serta Inderjit Singh, pemilik tunggal Tetuan B. Inderjit Singh. Mereka bertiga merupakan pengawas veteran pemilihan Majlis Peguam.

Kertas undi palsu

Jumaat lalu, ketika mengira undi, mereka terkejut apabila menemui 50 kertas undi palsu di antara 3,370 undi pos yang diterima daripada peguam dari seluruh negara bagi memilih 12 anggota majlis itu.

Kertas undi palsu itu mempunyai nombor siri berlainan daripada yang dikeluarkan oleh Majlis Peguam. Kualiti cetakan kertas undi palsu itu sama seperti yang tulen, serta mempunyai cop rasmi Majlis Peguam.

Berikutan itu, mereka mengisytiharkan pemilihan berkenaan tidak sah dan terbatal serta mahu satu pemilihan baru diadakan.

Dalam laporan kepada majlis itu, mereka berkata, terdapat kemungkinan besar ada lagi kertas undi palsu yang mempunyai nombor keluaran majlis itu, dihantar oleh pihak yang terlibat dalam penipuan itu.

Ini merupakan kes penipuan pertama dalam sejarah pemilihan majlis berusia 59 tahun itu.

Presiden Majlis Peguam Yeo Yang Poh dilaporkan berkata keputusan pemilihan itu akan diketahui dalam beberapa hari lagi, tak kira apapun hasil siasatan.