Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peserta nyalaan lilin kenang korban Covid-19 saman polis

Enam belas peserta yang ditahan dalam acara nyalaan lilin mengenang korban Covid-19, hari ini memfailkan saman sivil terhadap polis atas dakwaan "penangkapan salah" terhadap mereka.

Peguam Plaintif New Sin Yew berkata mereka memohon pengisytiharan mahkamah bahawa hak mereka seperti yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan telah dicabuli semasa perhimpunan 19 Ogos yang digelar "Malam Belasungkawa Jiwa-Jiwa Yang Telah Pergi".

Mereka meminta ganti rugi am dan pampasan RM1,000 untuk telefon bimbit yang rosak, katanya pada sidang media maya yang dipanggil oleh Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) bagi pihak 16 plaintif.

SSR adalah penganjur protes #Lawan yang diadakan bagi memperingati mangsa Covid-19 di Dataran Merdeka empat bulan lalu.

Plaintif menamakan ketua polis, polis, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

"Malam tersebut yang sepatutnya menjadi malam memperingati

13,385 rakyat Malaysia yang telah pergi akibat Covid-19 bertukar menjadi malam pihak polis yang menahan para peserta dengan kasar dan ganas," kata Asraf Sharafi, jurucakap SSR.

Selain penangkapan salah, katanya, 16 peserta itu membawa pihak berkenaan ke mahkamah kerana "serangan yang tidak wajar, pelanggaran tanggungjawab berkanun dan salah laku jawatan awam"

Mereka menuntut mahkamah mengisytiharkan tindakan polis itu melanggar hak perlembagaan mereka seperti yang termaktub di bawah Perkara 5, 8, 9 dan 10.

"Saya telah melihat bagaimana peserta diheret, ditengking dan didera oleh pihak polis pada malam itu.

"Ini bukanlah ciri negara yang demokratik dan kerajaan yang prihatin. Malam peringatan itu adalah cerminan derita rakyat di luar sana.

"Tapi tindak balas kerajaan bukanlah untuk mengerti dan menyelesaikan masalah rakyat tapi untuk mendiamkan tangisan mereka.

"Bukankah kerajaan itu harus adil dan mengerti? Bukankah zalim kalau keperitan kita semua diabaikan begitu sahaja?” katanya.

Seramai 31 individu telah ditahan semasa acara nyalaan lilin itu, termasuk anggota SSR.

Pada program itu, peserta dilihat diheret ke dalam Black Maria yang menunggu, selepas pertengkaran antara peserta dan anggota polis di lokasi.

Mereka kedengaran berulang kali menuntut polis menyatakan sama ada mereka ditahan, tetapi soalan mereka tidak diendahkan.

Lihat Komen
ADS