mk-logo
Berita
KPKT tamatkan khidmat anggota Penggerak Komuniti Tempatan
Diterbitkan:  Dec 31, 2021 5:10 PM
Dikemaskini: 11:20 AM

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dkatakan tidak lagi menggunakan khidmat Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) di seluruh negara mulai esok.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Reezal Merican Naina Merican dalam surat yang dihantar kepada anggota PeKT di seluruh negara.

Penamatan perkhidmatan itu dibuat lebih awal berbanding penggal yang dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2022.

Dalam surat ditandatangi Reezal dan salinannya dilihat Malaysiakini, dia memberitahu, kerajaan membuat keputusan menamatkan perkhidmatan PeKT disebab situasi negara yang berdepan "situasi luar jangka".

"Seperti yang tuan sedia maklum, negara kini berhadapan cabaran luar jangka dengan terjadinya fenomena seperti penularan wabak Covid-19 dan bencana banjir yang telah berlaku baru-baru ini.

"Berdasarkan situasi berkenaan, penyaluran peruntukan kerajaan bagi tahun 2022 akan lebih tertumpu kepada sektor-sektor yang lebih kritikal dan lebih menyeluruh untuk membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan keadaan ini.

"Sehugungan itu, dukacita dimaklumkan bahawa kementerian tidak dapat meneruskan perkhidmatan anggota PeKT," kata Reezal dalam surat bertarikh 29 Dis itu.

Untuk rekod penubuhan PeKT dibuat selepas kabinet bersetuju dengan cadangannya pada selepas ia dibentangkan pada 24 Jun 2020. Ia bertindak sebagai komuniti dalam sesebuah pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menteri yang bertanggungjawab ke atas KPKT ketika itu ialah bekas naib presiden PKR yang menyertai Bersatu, Zuraida Kamaruddin.

Penubuhan merupakan inisiatif KPKT untuk merealisasikan Dasar Komuniti Negara yang telah dilancarkan pada 17 Februari 2019.

Antara lain PeKT berperanan memperkasakan komuniti dari segi penjagaan harta benda, kebersihan, keselamatan dan penjagaan alam sekitar di sesebuah komuniti melalui khidmat nasihat.

Selepas Ismail Sabri Yaakob mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Zuraida dipindahkan ke Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Ketika dihubungi, Reezal berkata KPKT sedang melihat model baru yang lebih menyeluruh bagi menggantikan PeKT.

"Kita hendak tengok model yang lebih menyeluruh bukan hanya tertumpu di tiga negeri saja, buat masa ini PeKT ini wujud di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

"Kita mahu ia ebih menyeluruh dan inklusif, serta tidak mahu ia dijadikan alat politik," katanya.

Reezal juga mengesahkan penamatan anggota PeKT dibuat selepas kementeriannya tidak lagi mendapat peruntukan daripada perbendaharaan bagi tujuan itu.

Dalam Belanjawan 2022, sebanyak RM8.57 juga diperuntukkan kepada PeKT berbanding RM8.67 juta pada tahun sebelumnya. 

Pada 2020 Zuraida berkata sebanyak RM2.6 juga peruntukan disediakan untuk unit berkenaan.

Lihat Komen
ADS