Pertumbuhan ekonomi negara ketika ini mengalami kemajuan yang di luar dugaan, berada pada kadar lebih tinggi daripada apa yang dijangka sebelum ini, kata Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

Sehubungan itu institut itu meningkatkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara untuk 2006 dan 2007, kepada kepada 5.9 peratus dan 5.2 peratus daripada 5.6 peratus dan 4.8 peratus.

Pengarah Eksekutif MIER, Dr Mohamed Ariff (foto kanan) berkata, semakan semula unjuran itu dibuat susulan daripada semakan terakhir angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dibuat untuk suku pertama dan suku kedua, dan pembaharuan yang dilihat dalam keyakinan pengguna serta perniagaan.

Bank Negara Malaysia (BNM) bulan lepas mengumumkan semakan semula kadar pertumbuhan KDNK untuk suku pertama dan suku kedua masing-masing kepada 5.9 peratus dan 6.2 peratus daripada 5.3 peratus dan 5.9 peratus.

"Pertumbuhan ekonomi kita, pada masa ini, nampaknya sesuatu yang agak di luar dugaan. Ia berada pada kadar lebih tinggi daripada apa yang kita (MIER) jangkakan," kata beliau kepada pemberita di luar acara Persidangan Tinjauan Masa Depan Ekonomi Negara 2007-2008, di KUala Lumpur.

Beliau berkata dengan kesan baik daripada pertumbuhan ekonomi di negara-negara maju terhadap pertumbuhan eksport Malaysia pada 2007, dan semakin berkurangnya sensitiviti pertumbuhan ekonomi negara terhadap pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) selain di negara-negara Asia Timur terutamanya China, akan membolehkan ekonomi domestik untuk tumbuh pada kadar yang lebih tinggi tahun depan.

"Jangkaan bahawa dolar Amerika akan mengalami pembetulan (penyusutan sedikit secara teknikal) dan harga minyak akan kekal stabil jika tidakpun menyusut, ekonomi negara boleh mencatat pertumbuhan pada kadar 5.5 peratus pada 2008 dengan disokong pertambahan pesat dalam permintaan domestik menjelang pilihan raya umum," katanya.

Menurut laporan Bernama, Dr Mohamed Ariff berkata ekonomi Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan 5.7 peratus pada suku keempat tahun ini berbanding 5.8 peratus dicatatkan pada suku ketiga.

"Pemberian bonus kepada kakitangan kerajaan boleh merangsang lagi permintaan ketika musim perayaan pada suku keempat 2006. Penurunan cukai korporat secara beransur-ansur (pula) boleh meningkatkan minat untuk pelaburan dalam tempoh jangka sederhana," katanya.

Mengenai jangkaan penurunan jumlah eksport ke pasaran eksport utama pada 2007, Dr Mohamed Ariff berkata: "Pengembangan dalam perbelanjaan fiskal dalam Bajet 2007 boleh menyerap sebahagian jika tidakpun kesemua jangkaan limpahan negatif kesan daripada penguncupan ekonomi."

Pertumbuhan ekonomi AS yang dijangka sederhana pada kadar 2.4 peratus pada 2007, berbanding jangkaan pertumbuhan 3.4 peratus pada 2006. Ekonomi Eropah pula menguncup sedikit kepada 1.8 peratus pada 2007 berbanding 2.4 peratus tahun sebelumnya, sementara pertumbuhan ekonomi Jepun menyederhana kepada 2.3 peratus pada 2007 berbanding 3.2 peratus sebelumnya.