Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Terengganu pesaing Bangladesh eksport pekerja keluar negeri sendiri'
Diterbitkan:  Jan 2, 2022 5:25 PM
Dikemaskini: 9:25 AM

Amanah Terengganu menuduh kerajaan Terengganu cuba menyelesaikan isu pengangguran di negeri itu dengan menghantar penduduk tempatan bekerja di kilang di negeri lain.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Amanah Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata kerajaan negeri baru-baru ini telah menganjurkan "penghantaran" rasmi untuk sekumpulan penduduk tempatan bekerja di sebuah kilang elektronik di Selangor.

Anggota kabinet Terengganu Alias ​​Razak berkata skim penempatan pekerjaan itu adalah usaha Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) dalam mengurangkan pengangguran di negeri itu.

Bagi Raja Kamarul, penyumberan luar pekerja adalah pendekatan yang salah untuk menyelesaikan pengangguran kerana masalah di negeri itu berpunca daripada kekurangan pelaburan.

"Polisi kerajaan Terengganu yang tidak mesra pelabur dan lembab membuat ramai pelabur dan pengusaha kilang menjauhi Terengganu.

"Pengumuman semata mata untuk saham politik seperti sekatan serta garis panduan ketat hiburan, riadah dan pelancongan membuat syarikat luar memandang negatif untuk melabur kilang dan perushaan di Terengganu," katanya.

Tambahnya, meskipun Terengganu melahirkan bilangan tertinggi murid sekolah cemerlang tingkatan 5 di Malaysia setiap tahun, tiada usaha dari kerajaan negeri untuk membantu dan membimbing mereka dalam pendidikan tinggi dan kerjaya.

"Seterusnya membuat anak muda tidak berpeluang serta tidak berminat kerja di Terengganu dan ingin berhijrah ke lembah Kelang negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH).

"Dengan sikap demikian Terengganu akan menjadi 'pesaing sengit kepada Bangladesh' sebagai pengeksport perkerja teramai dunia keluar dari negeri sendiri," katanya.

Raja Kamarul juga menuduh kerajaan negeri melantik ahli PAS dari negeri lain untuk menduduki lembaga pengarah GLC.

"Seolah-olah tidak cukup orang Terengganu yang layak untuk jawatan itu," kata Raja Kamarul.

Lihat Komen
ADS