Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM siasat dakwaan kematian akibat vaksin di Penjara Kajang
Diterbitkan:  Jan 4, 2022 3:24 PM
Dikemaskini: Jan 19, 2022 9:39 AM

Tajuk berita ini diubah bagi memberi gambaran lebih jelas. - Pengarang


Kementerian Kesihatan mengesahkan surat daripada pengarah penjara Kajang yang memperincikan 18 kes serius kejadian kesan mudarat berikutan imunisasi (AEFI).

Ini termasuk dua kematian dalam kalangan banduan, selepas gambar surat itu tular di media sosial.

Kementerian menyatakan bahawa mereka telah menerima laporan insiden AEFI dan kini masih menyiasat mereka yang diklasifikasikan sebagai AEFI serius.

"KKM melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memantau secara berterusan keselamatan penggunaan semua vaksin termasuk vaksin Covid-19 melalui pemantauan laporan AEFI.

"Kesemua laporan yang dinyatakan dalam surat tersebut telah diterima oleh pihak NPRA.

"Laporan-laporan AEFI yang diklasifikasikan sebagai serius termasuk yang melibatkan kematian sedang dalam proses peniasatan,” kata Pengarah NPRA Dr Roshayati Mohamad Sani.

Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat serta Jabatan Kesihatan Selangor kemudiannya akan membentangkan hasil siasatan kepada Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin (JFK) Vaksin Covid-19 untuk menentukan sekiranya terdapat hubungan sebab akibat antara vaksin dan kesan buruk.

Dia merujuk kepada surat bertarikh 30 Nov 2021 yang dihantar oleh pengarah penjara Kajang kepada pejabat kesihatan daerah tempatan.

Dalam surat itu, pengarah berkenaan telah memperincikan 18 kes AEFI yang serius dan meminta penjelasan berhubung suntikan dos penggalak vaksin Covid-19.

Daripada 18 kes itu, dua yang maut melibatkan penerima vaksin Pfizer, menurut surat itu.

Berdasarkan data yang tersedia secara umum daripada Kementerian Kesihatan, terdapat 124 laporan AEFI serius yang dikemukakan kepada NPRA berhubung vaksin Pfizer, daripada 5,788,459 dos yang diberikan sejak 1 Nov 2021.

Secara berasingan, NGO Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menuntut penjelasan lanjut mengenai proses vaksinasi untuk banduan penjara, yang mereka dakwa tidak memerlukan vaksinasi kerana mereka terpencil di dalam penjara.

"PPIM amat prihatin dengan fenomena ini memandangkan penjara adalah sebuah persekitaran yang tertutup yang mempunyai interaksi yang minimal dengan pihak luar.

"Kami menggesa pemberian vaksin untuk tahanan penjara ini dikaji semula, mungkin memberikannya atas keperluan sahaja, misalnya vaksin hanya diberikan kepada mereka yang bakal dibebaskan,” kata Presiden PPIM Nadzim Johan (gambar, atas) pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

PPIM menggesa kerajaan mendedahkan sama ada banduan Kajang telah menerima suntikan penggalak mereka atau tidak.

Mereka juga ingin tahu berapa ramai banduan dalam negara yang telah menerima suntikan vaksin mereka dan pada tahap mana dos vaksin mereka.

Akhir sekali, mereka ingin tahu berapa banyak kes AEFI telah direkodkan dalam kalangan banduan penjara di seluruh negara setakat ini.

Nadzim menyoal jika ujian patologi terperinci telah dijalankan untuk semua kematian

Adakah ahli keluarga si mati diberi maklumat yang benar, soalnya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS