Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) menggesa pihak pengurusan Utusan supaya menjalankan kajian mendalam terhadap dayamaju cadangan penggabungan dengan Kumpulan New Straits Times Press (NSTP).

Rundingan mengenai cadangan penggabungan antara Utusan dan NSTP itu masih berjalan dan urusniaga saham kedua-dua syarikat tersebut yang digantung pada 1 November, telah disambung semua Isnin lalu.

Dalam satu kenyataan semalam, Setiausaha Agung NUJ, Hong Boon How berkata NUJ mahu penggabungan tersebut tidak akan menjejaskan aspek keuntungan Utusan kebajikan kakitangannya dalam jangka masa panjang.

Katanya, satu majlis taklimat berhubung perkara itu, telah diadakan kelmarin oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Hashim Makaruddin kepada jawatankuasa kesatuan tersebut.

Taklimat itu dihadiri oleh Presiden NUJ, Norila Mohd Daud serta ahli jawatankuasa NUJ cawangan Utusan.

Sehubungan itu, Hong berkata, NUJ mahu pihak pengurusan Utusan mengotai janjinya bahawa cadangan penggabungan itu, jika menjadi kenyataan, tidak akan mengakibatkan pemberhentian pekerja atau pengurangan faedah dipersetujui di bawah Perjanjian Bersama NUJ-UM.

Dalam majlis tersebut, NUJU juga menyambut baik jaminan pihak pengurusan Utusan bahawa kebebasan editorial semua penerbitan di bawah Kumpulan Utusan, tidak akan terjejaskan ekoran cadangan penggabungan tersebut.

Ahli MT bimbang

Isnin lalu, dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Utusan NSTP mengesahkan secara rasmi bahawa mereka sedang berunding untuk meningkatkan nilai masing-masing melalui cadangan penggabungan.

Bagaimanapun, kata mereka, kedua-dua pihak masih belum mencapai sebarang persetujuan muktamad berhubung cadangan penggabungan tersebut.

Ekoran itu, kedua-dua syarikat berkenaan mengumumkan, urusniaga saham masing-masing yang digantung Jumaat, disambung semula pada hari berkenaan (Isnin).

Sebelum itu, Utusan dan NSTP mengumumkan satu sidang akhbar akan diadakan pada petang Isnin (4 November) di sebuah hotel di Damansara, Kuala Lumpur, tetapi ianya telah dibatalkan pada saat-saat akhir.

Difahamkan, pembatalan sidang akhbar itu dikatakan mempunyai kaitan dengan keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MT) pada I November di mana sebahagian besar ahli MT dikatakan tidak bersetuju dengan cadangan penggabungan tersebut.

Ini kerana mereka khuatir penggabungan tersebut akhirnya akan melenyapkan identiti dan peranan akhbar Utusan Malaysia sebagai wadah dan lidah rasmi orang Melayu dan Umno.

Syarikat induk baru

Sementara itu, akhbar harian The Edge hari ini memetik Mayban Securities Research sebagai berkata Utusan dan NSTP akan menjadi anak syarikat kepada sebuah syarikat induk baru di bawah cadangan penggabungan tersebut.

Katanya, cadangan tersebut masih dalam kajian Majlis Tertinggi Umno.

Menurut The Edge lagi, di bawah cadangan tersebut, semua akhbar dalam dua kumpulan media itu akan dikekalkan dan badan pengurusan syarikat induk baru itu akan dianggotai wakil Utusan dan NSTP.

"Sekiranya penggabungan itu menjadi kenyataan, proses dijangka siap dalam tempoh enam hingga sembilan bulan, iaitu pada pertengahan tahun 2007," kata Mayban Securities Research.

Pada masa ini, Umno menguasai kira-kira 50 peratus ekuiti dalam Utusan Melayu. Manakala di NSTP pula, penguasaan Umno adalah melalui nominee seperti Media Prima, yang memegang 43 peratus ekuiti dalam syarikat media itu.

Mayban Securities Research juga dipetik sebagai berkata, Media Prima dan NSTP mengadakan persidangan untuk para penganalisa semalam untuk menjelaskan mengenai status cadangan penggabungan teresbut, termasuk jaminan mengekalkan kebebasan editorial dalam semua akhbar terbabit.

"Kami difahamkan, cadangan penggabungan itu akan membolehkan Media Prima mengurangkan pegangan sahamnya dalam NSTP daripada 43.3 peratus kepada kurang daripada 20 peratus, kerana pemegang saham NSTP akan menerima gabungan imbuhan tunai dan saham dalam syarikat induk baru itu nanti," katanya.

Ekoran ketidaktentuan berhubung cadangan penggabungan itu, harga saham Utusan dan NSTP telah merosot. Ketika urusniaga ditutup pada jam 5 petang semalam, saham kedua-dua syarikat media itu jatuh kira-kira 14 peratus.

Saham NSTP ditutup pada harga RM2.53 merosot 13.6 peratus atau 40 sen daripada harga pada hari Jumaat lalu (RM2.94) apabila urusniaganya digantung ekoran jangkaan cadangan penggabungan tersebut.

Manakala saham Utusan pula ditutup pada harga RM1.56 merosot 14.75 peratus atau 27 sen berbanding RM1.83 sebelumnya.