Permit pasir tambak negara jiran masih dibekukan
Permit pengeluaran pasir untuk kegiatan menambak laut bagi kegunaan luar negara, seperti menambak negara jiran, masih lagi dibekukan.
Permit pengeluaran pasir untuk kegiatan menambak laut bagi kegunaan luar negara, seperti menambak negara jiran, masih lagi dibekukan.
Bagaimanapun, Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam
Sekitar, Datuk Sazmi Miah berkata permit pengeluaran pasir untuk kegiatan menambak laut bagi kegunaan tempatan masih lagi dibenarkan dan dibuka untuk permohonan.
"Tetapi untuk kegunaan luar negara, seperti menambak negara jiran dan sebagainya setakat hari ini masih lagi dibekukan," katanya ketika menjawab soalan Dr Junaidy Abdul Wahab (BN-Batu Pahat di Dewan Rakyat hari ini.
Mengenai masalah kenaikan harga pasir, beliau berkata, kementeriannya akan mengkaji kesesuaian untuk menjadikan pasir sebagai barang kawalan dalam sektor pembinaan.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, kenaikan harga pasir dalam pasaran ketika ini disebabkan permintaan yang tinggi terhadap bahan binaan itu, khususnya di kawasan yang pesat membangun seperti
Lembah Klang.
Tiada permit baru
"Memang diakui pasir menjadi sebahagian daripada komponen penting bahan binaan dan kementerian akan mengkaji kesesuaian untuk menjadikannya sebagai bahan kawalan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Nasaruddin Hashim (BN-Parit).
Dalam usaha menambah permit pasir bagi tujuan pembangunan di Lembah Klang, Sazmi berkata, kerajaan persekutuan boleh membantu dengan memaklumkan kepada kerajaan negeri bahawa permintaan terhadap pasir meningkat berikutan kepesatan projek pembangunan.
"Memohon agar pengeluaran permit lombong pasir dipercepatkan dengan andaian penawaran pasir bertambah bagi memenuhi permintaan seterusnya dapat kurangkan kenaikan harga pasir," katanya.
Selain itu Sazmi turut mengakui bahawa terdapat sesetengah negeri yang tidak mengeluarkan permit-permit baru untuk pasir berdasarkan beberapa faktor seperti keadaan sungai yang dalam yang boleh menyebabkan berlakunya banjir.

