Kemarahan penumpang yang tidak berpuas hati dengan kenaikan harga daripada RM30 kepada RM50 bagi pas perjalanan tanpa had perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad semakin memuncak selepas laluan MRT Kajang menghadapi masalah teknikal pada waktu sibuk pagi tadi.
Akibatnya, pengguna dari Kwasa Sentral terpaksa turun di stesen Phileo Damansara dan menaiki bas ulang-alik ke stesen Semantan bagi meruskan perjalanan ke stesen Kajang.
Beberapa penumpang melepaskan geram mereka di Twitter untuk mengadu tentang kesesakan teruk di beberapa stesen akibat masalah teknikal itu ketika kebimbangan terhadap penularan wabak Covid-19 masih belum reda.
"Jarak sosial sifar di Kwasa Sentral," kata seorang pengguna Twitter.
"Tiada kawalan ke atas orang ramai untuk prosedur operasi standard Covid-19," kata pengguna lain.
Pengguna lain turut melahirkan rasa kecewa kerana masalah dengan laluan MRT Kajang berlaku hanya empat hari selepas harga pas perjalanan pengangkutan awam tanpa had dinaikkan daripada RM30 kepada RM50.
Pas My30, berharga RM30 diperkenalkan pada Jun 2020 oleh perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin.
Pas itu membolehkan perjalanan tanpa had di semua laluan MRT, LRT, monorel dan BRT serta bas pengantara RapidKL dan MRT di Lembah Klang.
Bagaimanapun pas My30 digantikan dengan pas My50 berkuat kuasa tahun ini yang berharga RM50.
Masalah teknikal bermula sekitar jam 8 pagi, menyebabkan RapidKL mengarahkan penumpang mengambil langkah ke alternatif dan isu itu diselesaikan pada tengah hari.
"Kemaskini Laluan MRT Kajang: Isu teknikal telah diperbetulkan. Perkhidmatan disambung semula seperti biasa. Terima kasih," kata RapidKL di Twitter.
