Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Panel SPRM: Adik guna akaun Azam Baki untuk beli saham

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki memberitahu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun trading miliknya digunakan oleh adiknya untuk memperoleh saham dalam dua syarikat pada 2015.

Pada sidang media hari ini, pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang berkata Azam hadir dalam pertemuan dengan lembaga itu pada 24 Nov lalu untuk memberikan penjelasan.

Saham itu telah dipindahkan kepada adiknya, Nasir Baki.

Abu Zahar berkata mereka berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa dia tidak mempunyai manfaat kewangan mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham tersebut.

"Dalam pertemuan itu, Azam telah jelaskan kedudukan sebenar pada kami bahawa saham-saham beliau digunakan adiknya, Nasir Baki untuk beli saham-saham berkaitan pada 2012

"Yang mana beliau tak punyai sebarang kepentingan sendiri bagi pembelian mahupun pemilikan saham-saham berkenaan.

"Dalam masa sama, ia dibuat di open market dan tiada sebarang percanggahan kepentingan semasa pembelian pada 2015. Bagaimanapun semua telah dipindahkan kepada Nasir Baki pada tahun berkaitan

"Ahli-ahli LPPR berpendapat Azam tiada sebarang kepentingan sendiri atas saham-saham berkenaan," katanya yang menambah mereka berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan.

Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, Azam adalah pengarah bahagian siasatan SPRM.

Abu Zahar berkata lembaga itu berhasrat mendedahkan perkara itu kepada umum, tetapi bekas anggota Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM Edmund Terence Gomez meletakkan jawatan terlebih dahulu.

Gomez meletak jawatan pada 23 Dis selepas mendakwa pengarah panel berkenaan, Borhan Dolah tidak mengendahkan permintaan untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan dakwaan terhadap Azam.

Abu Zahar berkata Gomez sepatutnya mengikut prosedur yang betul dengan mengemukakan perkara itu kepada lembaga penasihat atau Jawatankuasa Aduan.

Dia juga menyangkal dakwaan bahawa lembaga itu telah menerima surat daripada Gomez.

Lembaga itu, kata Abu Zahar, telah menemui Gomez untuk membincangkan perkara itu tetapi dia enggan berbuat demikian.

Lihat Komen
ADS