Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Johor kurangkan jarak fizikal antara jemaah setengah meter
Diterbitkan:  Jan 5, 2022 5:05 PM
Dikemaskini: 9:07 AM

Kerajaan Negeri Johor hari ini bersetuju untuk melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) baru bagi membolehkan solat jemaah di masjid dan surau negeri itu dilakukan dengan hanya setengah meter penjarakan fizikal antara jemaah.

Ketetapan tersebut diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada Selasa, 28 Disember lalu selepas mendapat perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Perubahan tersebut juga berkuat kuasa mulai Jumaat ini hingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor.

"Dipersetujukan pelaksanaan solat fardhu Jumaat dan solat berjemaah fardhu lima waktu didirikan dengan pengurangan penjarakan daripada satu meter kepada setengah meter di antara para jemaah," kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Johor, Md Rofiki Samsudin, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Tosrin Jarvanthi dan Mufti Johor, Yahya Ahmad.

Kerajaan Johor pada 24 November lalu dilaporkan akan membentangkan cadangan SOP baru bagi membolehkan solat jemaah di masjid dan surau negeri ini dilakukan tanpa penjarakan sosial dan akan dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, bagi mendapatkan perkenan baginda.

Ramai masyarakat Islam di Johor menimbulkan persoalan bila solat jemaah di masjid dan surau di negeri ini dapat kembali seperti dahulu, tanpa penjarakan sosial selepas Johor memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sejak Oktober lalu, Johor membenarkan jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau negeri itu mengikut kapasiti ruangan dengan mematuhi penjarakan fizikal satu meter.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada 13 Oktober lalu itu, Johor turut membenarkan solat fardhu lima waktu dan solat jenazah pula mengikut kapasiti satu pertiga ruangan solat masjid dan surau dengan penjarakan fizikal satu meter.

Sementara itu, jawatankuasa fatwa negeri juga membenarkan SOP solat hajat dilaksanakan selepas solat fardhu maghrib setiap hari dan selepas solat fardhu Jumaat setiap minggu di seluruh masjid dan surau negeri Johor untuk memohon kesejahteraan negeri dan negara dari segala musibah dan wabak penyakit.

"Program pengimarahan masjid dan surau seperti kuliah dan ceramah agama daripada satu jam ditambah kepada tempoh tidak melebihi daripada dua jam.

"Qunut Nazilah hendaklah dibaca dalam solat fardhu Jumaat setiap minggu.

Kenyataan itu juga turut mengingatkan jawatankuasa pengurusan asjid dan surau agar memastikan kesemua jemaah yang hadir ke rumah ibadah itu mematuhi SOP pencegahan Covid-19 yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa.

"SOP berkenaan termasuklah seperti jemaah telah menerima suntikan lengkap dua dos vaksin, memakai pelitup muka, membawa sejadah berukuran besar dan memastikan tidak bergejala.

"Marilah kita bersatu hati merafakkan doa semoga wabak Covid-19 ini segera berakhir di negara Malaysia amnya dan negeri Johor khususnya dengan cara bermunajat kepada Allah SWT, mendirikan solat secara berjemaah, membaca al-Quran, berdoa, berzikir, berselawat ke atas Rasulullah SAW dan amalan-amalan kebaikan yang lain. Semoga kita beroleh perlindungan Allah SWT daripada segala wabak dan bencana," tambahnya.

Lihat Komen
ADS