Buku Abuya Ashaari Muhammad akan diharamkan
Buku bertajuk "Abuya Ashaari Muhammad - Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya" akan diharamkan sebaik sahaja mendapat lampu hijau daripada Jabatan Peguam Negara, kata Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Bahrum.
Buku yang diterbitkan oleh Rufaqa Corporation Sdn Bhd itu ditulis oleh Khatijah
Aam, isteri pengasasa Rufaqa Corporation, Ashaari Muhammad yang juga bekas ketua kumpulan Al-Arqam.
Johari (foto kanan) berkata, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri telahpun menerima laporan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung buku itu petang semalam.
"Kami akan rujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
InsyaAllah dalam tempoh dua minggu lagi kami akan menerima jawapan. Jika Peguam Negara bersetuju buku itu diharamkan, kami akan mengharamkannya.
"Dalam hal agama, kami bergantung kepada laporan Jakim atau Majlis Agama Islam negeri kerana kami tidak mempunyai kepakaran," katanya kepada pemberita di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.
Menurut laporan Bernama, antara lain kandungan buku itu mendakwa Ashaari sebagai Putera Bani Tamim yang mampu bertemu dan berkomunikasi dengan Rasulullah s.a.w serta diberi kuasa untuk memanggil duit, "power" serta segala keperluannya.
Johari berkata walaupun buku berkenaan sudah lama diedarkan secara terbuka di pasaran, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenainya daripada Jakim atau Majlis Agama Islam negeri sebelum ini.
Buku tersebut telah dilancarkan secara rasmi penjualannya di Phuket, Thailand, pada Oktober. Kini ia dijual di merata-rata kedai buku di seluruh negara. Penerbitan buku-buku berunsur agama adalah salah satu daripada cabang perniagaan Rufaqa.