Penggabungan: Umno diminta rujuk pada akar umbi
Cadangan penggabungan kumpulan akhbar Utusan Malaysia dan New Straits Times Press (NSTP) 'terbantut sementara' ekoran ramai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang bermesyuarat Jumaat lalu, tidak senang dengan cadangan tersebut dan mahu diberi penjelasan lebih lanjut mengenainya.
Cadangan penggabungan kumpulan akhbar Utusan Malaysia dan New Straits Times Press (NSTP) 'terbantut sementara' ekoran ramai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang bermesyuarat Jumaat lalu, tidak senang dengan cadangan tersebut dan mahu diberi penjelasan lebih lanjut mengenainya.
"Mereka mahu ia dikaji dengan teliti dan pandangan ahli-ahli Umno diambilkira. Jika boleh, mereka mahu majlis taklimat diberikan kepada para pemimpin Umno di akar umbi sebelum lampu hijau diberikan kepada cadangan tersebut," kata sumber-sumber Umno kepada malaysiakini .
Ahli-ahli MT yang tidak menyenangi cadangan penggabungan itu, khuatir langkah korporat tersebut akan menghapuskan identiti dan sejarah kedua-dua akhbar yang mempunyai kaitan rapat dengan perjuangan orang Melayu.
"Penekanan mereka lebih kepada kumpulan akhbar Utusan Melayu yang selama ini menjadi lidah rasmi orang Melayu. Mereka tidak mahu akhbar tersebut ditenggelamkan oleh kumpulan NSTP," kata sumber-sumber itu.
Menurutnya, cadangan mengenai penggabungan tersebut dibentangkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk dibincangkan secara terbuka.
"Ahli-ahli MT menyuarakan pendapat masing-masing dan sebahagian besarnya menyatakan kebimbangan terhadap kesan buruk dari cadangan tersebut," kata sumber-sumber itu lagi.
'Jangan terburu-buru'
Mereka juga dikatakan mengingatkan pucuk pimpinan supaya jangan terburu-buru menerima cadangan penggabungan tersebut.
Difahamkan, ekoran itu, sidang akhbar khas yang dijadual diadakan oleh pihak Utusan dan NSTP pada petang Isnin lalu telah dibatalkan. Bagaimanapun, Utusan dan NSTP, dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, mengesahkan rundingan sedang berjalan dan tiada persetujuan konkrit telah dicapai setakat ini.
Di samping itu, urusniaga kedua-dua syarikat media itu, yang digantung Jumaat lalu, disambung semula pada hari Isnin
Difahamkan, antara ahli MT yang kurang setuju dengan pengabungan itu ialah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Rais Yatim dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad.
Manakala antara mereka yang turut menyokong penggabungan itu selain Presiden dan Timbalan Presiden parti ialah dua Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Mereka berhujah, sudah sampai masanya penggabungan antara dua kumpulan akhbar itu dibuat selari dengan penggabungan syarikat-syarikat media di seluruh dunia terutama di negara barat dan Amerika Syarikat sekarang.
'Mahu penjelasan lanjut'
"Mereka yang menyokong penggabungan itu juga berpendapat penggabungan juga memudahkan lagi pihak kerajaan untuk memastikan agenda memajukan bangsa dan negara seperti yang diharapkan.
"Kalau tak silap saya tidak lebih dari lima orang menyokong cadangan penggabungan itu," kata sumber tersebut lagi.
Seramai 46 anggota menghadiri mesyuarat pada minggu lalu itu. Terdapat juga beberapa ahli MT yang bersikap berkecuali dalam mesyuarat berkenaan.
Menurut sumber-sumber itu lagi, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakub mahukan penjelasan lebih lanjut berhubung cadangan tersebut.
Sementara itu usaha malaysiakini untuk mendapatkan maklumat dari ahli-ahli MT sendiri gagal kerana mereka enggan mengulas apa yang berlaku dalam mesyuarat tersebut.
Shahrir ketika dihubungi Isnin lalu berkata:;"Saya tak ada apa-apa nak komen, semua yang saya nak cakap, sudah saya luahkan dalam mesyuarat."

