mk-logo
Berita
Pemimpin PBM duduki jawatan GLC wajar dipecat, kata Faiz
Diterbitkan:  Jan 8, 2022 7:05 PM
Dikemaskini: 11:05 AM

Seorang pemimpin Bersatu hari ini mendesak kerajaan menamatkan segera kontrak lantikan mana-mana ahli politik yang menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata langkah tersebut wajar dibuat kerana PBM bukanlah sebahagian daripada Perikatan Nasional atau mana-mana gabungan kerajaan sekarang.

Satu lagi pilihan, katanya, ialah meminta mereka agar meletakkan jawatan secara sukarela.

"Ini bagi mewujudkan keserasian agenda dalam hal ehwal membuat dasar, pengurusan serta pentadbiran apa-apa elemen di bawah kuasa kerajaan persekutuan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, serta mengelak sebarang kebarangkalian disabotaj atau ditunggangi oleh pihak luar yang tidak bersama kerajaan Malaysia hari ini," katanya.

Muhammad Faiz berkata demikian sebagai mengulas senarai kepemimpinan tertinggi PBM yang diumumkan hari ini.

Misalnya Ahli Parlimen Julau, Larry Sng, yang dilantik sebagai presiden dan Zakaria Abdul Hamid sebagai ketua penerangan.

Sng merupakan bekas pengerusi PKR Sarawak dan memenangi kerusi Julau atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada 2018 sebelum mengumumkan menjadi ahli parlimen bebas yang mesra kerajaan.

Tak bermain banyak 'kolam'

Dia kemudian dilantik menjadi pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia yang terletak di bawah tanggungjawab Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Zakaria pula merupakan pemimpin PKR Pahang sebelum meninggalkan parti itu untuk menyertai Bersatu pada 2020. Dia kini merupakan pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Turut dipilih menyertai kepemimpinan utama PBM ialah beberapa wakil rakyat yang memenangi kerusi masing-masing atas tiket PH namun meninggalkan gabungan tersebut bersama Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali, dan Zuraida Kamaruddin (Ampang).

Mereka ialah Haniza Mohamed Talha (Adun Lembah Jaya) dan Daroyah Alwi (Adun Sementa). Haniza - yang dipecat daripada PKR - kini menjadi timbalan presiden 1 PBM manakala Daroyah - meninggalkan PKR - dilantik sebagai ketua wanita. 

Azmin merupakan menteri kanan manakala Zuraida kini mengetuai Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi. Kedua-dua mereka bagaimanapun setakat ini kekal bersama Bersatu.

Haniza ketika ini bertugas sebagai pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Muhammad Faiz berkata sebagai negara demokrasi memang seseorang bebas menyertai mana-mana parti yang berdaftar dan ia wajar diraikan.

Namun katanya menjadi kewajipan kepada mereka mematuhi perlembagaan parti khususnya Bersatu yang telah menggariskan bahawa keahlian seseorang tergugur secara automatik jika terbukti menyertai parti lain.

"Maka lebih bermaruah jika mereka yang telah meninggalkan Bersatu demi menyertai mana-mana parti lain - dalam hal ini PBM - untuk mengisytiharkan diri mereka secara terbuka telah keluar dari Bersatu dan tidak bermain dua atau lebih 'kolam'," katanya.

Lihat Komen
ADS