Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Serangan pada Azam bermotif politik dendam' - Tiga timbalan pesuruhjaya SPRM
Diterbitkan:  Jan 9, 2022 11:54 AM
Dikemaskini: 3:59 AM

Ketiga-tiga timbalan pesuruhjaya SPRM mengisytiharkan sokongan mereka kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, yang kini berdepan dengan siasatan berterusan susulan dakwaan pemilikan saham.

Tiga timbalan Azam itu, Ahmad Khusairi Yahaya (operasi), Norazlan Mohd Razali (pencegahan) dan Junipah Wandi (pengurusan dan profesionalisme) menolak dakwaan terhadap ketua SPRM dan menyifatkan ia serangan terhadap suruhanjaya antirasuah berkenaan.

"Kami mewakili seluruh warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyatakan pendirian kami menyokong kepimpinan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

"Kami berpendirian bahawa tohmahan dan serangan yang dibuat adalah bermotifkan politik dendam bagi menjatukan kredibiliti SPRM," kata mereka pada kenyataan bersama hari ini.

"Kami menggesa agar semua pihak menghentikan kemelut ini dan membiarkan proses undang-undang berjalan secara adil, telus dan saksama.

"Warga SPRM tetap bersatu hati dalam mempertahankan institusi ketua pesuruhjaya SPRM demi kelangsungan pencegahan rasuah di negara tercinta," tegas mereka.

Menurut laporan tahunan 2015 Excel Force Bhd, Azam memiliki 2,156,000 saham dalam syarikat itu pada 21 Mac 2016. Pada masa itu, Azam ialah ketua bahagian siasatan SPRM.

Ketika sidang media pada Rabu, Azam berkata dia telah memberitahu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun dagangannya digunakan oleh adiknya Nasir Baki untuk membeli saham dalam kedua-dua syarikat itu pada 2015.

Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang, yang turut hadir pada sidang media itu berkata mereka berpuas hati dengan penjelasan Azam, sehingga mencetuskan kritikan pelbagai pihak.

Enam ahli LPPR lain bagaimanapun kemudiannya mempertikaikan pendirian Abu Zahar, berkata ia sekadar pendapat peribadi pengerusi lembaga penasihat SPRM itu.

Dakwaan itu pertama kali didedahkan oleh pemberi maklumat, Lalitha Kunaratnam, yang sejak itu telah menerima surat tuntutan undang-undang daripada Azam.

Suruhanjaya Sekuriti telah memaklumkan akan menghubungi Azam mengenai pengakuannya itu di tengah-tengah tekanan supaya siasatan bebas meneliti dakwaan tersebut.


 

Lihat Komen
ADS