Paling Popular
Terkini

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan melakukan pemantauan rapi terhadap pergerakan beberapa ekor harimau yang dibimbangi mengancam penduduk di kawasan perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan.

Selepas Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai diancam harimau sehingga sesi pembelajaran bersemuka terpaksa ditangguhkan, kini SK Balar pula dikhuatiri diancam binatang berkenaan.

Difahamkan, dua ekor harimau dikesan berada di tepi pagar asrama SK Balar sekali gus menimbulkan ketakutan kepada pelajar dan penduduk sekitar.

Perkara itu didedah seorang guru sekolah berkenaan melalui hantaran di Facebook, semalam.

"Tiger malaya mari ziarah SK Balar. Doakan kami semoga sentiasa dalam perlindungan Allah," katanya ringkas.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani, berkata pihaknya sudah mendapat maklumat berkaitan kewujudan harimau berkenaan di sekolah itu.

"Kita sudah terima maklumat berkaitan kehadiran harimau di SK Balar, pemeriksaan dan pemantauan pergerakan harimau tersebut sedang dilakukan.

“Setakat ini, kita memasang tiga perangkap berkamera di Pos Bihai dan operasi berterusan akan dijalankan bagi menangkap harimau terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu media pada Jumaat lalu melaporkan seorang lelaki Orang Asli maut dibaham harimau dalam kejadian di Kampung Sau dekat Pos Bihai.

Mangsa Anek Along dikatakan sedang menumbuk padi huma bersama anak perempuannya di belakang rumah jam 9.10 pagi.

Susulan kejadian itu, sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai, secara bersemuka terpaksa ditanggungkan susulan mengalami ancaman serangan harimau.

Sementara itu, Bernama melaporkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) masih menjalankan operasi pemantauan dan kawalan di kawasan perkampungan Orang Asli Pos Bihai di Gua Musang ekoran aduan penduduk berkenaan harimau belang yang berkeliaran di kawasan tersebut sejak semalam.

Menurut Jabatan Perhilitan pihaknya telah memasang tiga perangkap harimau belang (perangkap wahab) iaitu dua buah di Kampung Tendrik dan satu di Kampung Hak, Pos Bihai.

"Hasil Survei Harimau Kebangsaan Pertama (NTS1) mendapati majoriti daripada populasi Harimau Malaya berada di kawasan hutan simpan di Semenanjung Malaysia terutama di kompleks Taman Negara-Banjaran Titiwangsa," menurut Jabatan Perhilitan dalam kenyataan.

Jabatan Perhilitan berkata pihaknya sentiasa memantau dan memberi taklimat kepada penduduk kampung dari semasa ke semasa berkenaan perjalanan operasi mengesan dan menangkap harimau belang serta langkah keselamatan yang perlu diambil ketika berada di luar kawasan rumah.

Katanya orang ramai perlu lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan negeri Kelantan melalui talian 011-59275985, talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.

Lihat Komen
ADS