Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kehilangan habitat akibat pembalakan punca harimau mengganas’
Diterbitkan:  Jan 11, 2022 6:31 PM
Dikemaskini: 10:35 AM

Sekumpulan Orang Asli yang mewakili suku Temiar hari ini menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri menggesa kerajaan supaya bertindak tegas menghentikan aktiviti pembalakan yang terus berleluasa di Gua Musang, Kelantan.

Menurut mereka, serangan maut oleh seekor harimau dan kelibat mamalia berkenaan yang dikesan berhampiran perkampungan Orang Asli di daerah itu adalah disebakan aktiviti pembalakan yang menggangu habitatnya.

Jurucakap kumpulan itu, Nasir Dollah ketika berjumpa dengan pemberita di luar Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, petang ini berharap kerajaan pusat dapat membayar royalti petroleum kepada Kelantan supaya negeri itu dapat menghentikan pembalakan sebagai sumber pendapatan.

“Bagi kami isu ini berlaku kerana aktiviti pembangunan seperti pembalakan, perlombongan dan ladang-ladang berskala besar.

“Bila hutan-hutan ini mengecil, sudah pasti habitat haiwan ini mengecil dan tak boleh cari makan hingga sampai ke perkampungan Orang Asli.

“Tetapi kita tidak salahkan haiwan itu. Sekarang isu kita ialah kesilapan manusia. Manusia itu siapa? Sudah tentulah orang yang berkuasa, iaitu kerajaan negeri dan pusat,” katanya.

Jumaat lalu, seorang penduduk kampung Orang Asli, Anek Bin Along, 59, di Kampung Sau, dekat Pos Bihai di Gua Musang mati dibaham harimau.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan kemudian menembak mati seekor harimau belang jantan berusia tiga tahun seberat 120 kilogram selepas ia cuba menyerang anggotanya yang membuat pencarian di kawasan hutan tempat kejadian.

Susulan kejadian itu, sesi persekolahan bersemuka Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai, Gua Musang, Kelantan, yang bermula Ahad lalu ditangguhkan.

“Dalam memorandum kami kepada Perdana Menteri, kami harap kerajaan pusat beri royali minyak kepada kerajaan negeri Kelantan.

“Sebab timbalan menteri besar Kelantan cakap, kalau kerajaan (pusat) beri royalti, kita tidak akan membalak.

“Jadi kita berharap benda itu, kalau pusat beri royalti, kita lihat adakah dia akan membalak atau sebagainya,” kata Nasir.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS