Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis siasat MP Kulai isu hantaran FB pada 2017
Diterbitkan:  Jan 12, 2022 6:57 PM
Dikemaskini: 10:57 AM

Polis sedang menyiasat Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berhubung hantaran Facebook yang dikongsinya pada April 2017.

Ketika dihubungi, ahli parlimen pembangkang itu berkata hantaran itu pada asalnya dimuat naik oleh aktivis Fahmi Reza sebelum dikongsikan ke laman Facebook rasminya, beserta keterangan "pertahankan kebebasan berekspresi, kebebasan bersatire". 

"Ia adalah siaran mengenai kebebasan bersuara," katanya ringkas tanpa menjelaskan secara spesifik.

Teo menjelaskan dalam satu kenyataan bahawa polis telah memaklumkan kepadanya siasatan dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan (menghina dengan dengan niat untuk memecahkan keamanan).

Polis juga sedang menyiasat hantaran tersebut di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (salah guna kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dll).

Dia disoal siasat semalam sambil ditemani peguamnya Syahredzan Johan.

“Saya berpegang dengan apa yang saya tulis iaitu mempertahankan hak bersuara yang dilindungi oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Sumber polis harus digunakan untuk memerangi jenayah sebenar yang memberi kesan kepada mangsa sebenar dan bukan menjadi alat untuk menakut-nakutkan orang ramai daripada menyatakan fikiran mereka.

"Tindakan mengkritik kerajaan atau institusi pentadbiran tidak boleh dianggap sebagai jenayah," tulis Teo di laman Facebook rasminya.

Perkara 10 menetapkan bahawa setiap warganegara mempunyai hak untuk kebebasan bersuara dan berekspresi, untuk berhimpun secara aman tanpa senjata, dan untuk menubuhkan persatuan.

Teo tidak menyatakan secara spesifik hantaran Facebook yang sedang disiasat.

 

Kritikan bukan jenayah

Susulan itu, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) menyatakan solidariti dengan Teo.

NGO itu menegaskan bahawa pihak berkuasa penguatkuasaan tidak seharusnya digunakan untuk mengganggu pengkritik.

Begitu juga kritikan terhadap kerajaan tidak boleh dianggap sebagai satu jenayah.

“CIJ berdiri bersama Teo kerana mempertahankan haknya untuk kebebasan bersuara. Kami bersetuju dengan Teo bahawa pihak berkuasa harus menumpukan pada memerangi jenayah dan bukan menjadi alat politik untuk menakut-nakutkan atau mengganggu orang ramai, terutamanya ahli parlimen, untuk menyatakan fikiran mereka.

“Rakyat perlu mendengar pandangan semua ahli parlimen sebagai tindak balas kepada pelbagai krisis yang sedang berlaku di Malaysia. Oleh itu, tindakan ahli parlimen mengkritik kerajaan atau institusi pemerintahan tidak boleh dianggap sebagai satu jenayah.

“Kita perlu memastikan semak dan imbang yang betul untuk negara demokrasi yang lebih baik dan sihat,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di Twitter.

 

*Laporan tambahan oleh ANNABELLE LEE.

Lihat Komen
ADS