Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azam saman pemberi maklumat isu pemilikan saham
Diterbitkan:  Jan 12, 2022 9:27 PM
Dikemaskini: 1:27 PM

Azam Baki hari ini telah memfailkan saman fitnah terhadap pemberi maklumat Lalitha Kunaratnam, yang telah menulis mengenai pemilikan saham ketua pesuruhjaya SPRM itu dalam dua syarikat senaraian awam.

“Hari ini kami telah memfailkan tuntutan fitnah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bagi pihak anak guam kami Azam terhadap Lalitha.

“Lalitha tidak membalas surat tuntutan anak guam kami yang dikeluarkan pada 6 Jan 2022, dan sebaliknya dia telah mengeluarkan kenyataan akhbar yang diterbitkan di akaun Twitternya, di mana dia telah mendakwa mempertahankan penerbitan dan ulang terbit, kandungan yang mana ditegaskan oleh anak guam kami sebagai fitnah,” kata peguam Azam, Megat Abdul Munir dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, peguam itu berkata Azam memfailkan saman ini sebelum tamat tempoh 14 hari dari tarikh surat tuntutan dikeluarkan bagi menjaga reputasi dan kedudukan profesionalnya.

Azam sebelum ini telah mengeluarkan surat tuntutan kepada Lalitha melalui peguamnya, menuntut permohonan maaf dan ganti rugi RM10 juta.

Lalitha sejak itu berkata dia mempertahankan laporannya dan mengkritik percubaan SPRM untuk melibatkan polis untuk menyiasatnya.

Megat berkata, dengan tuntutan mahkamah ini, Azam hanya menegaskan haknya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan “relif yang perlu dan sewajarnya daripada mahkamah Malaysia”.

Azam juga percaya bahawa ia akan memberi Lalitha hak dan peluang yang sama untuk mempertahankan dakwaannya di mahkamah, dan bukannya terlibat dalam penghakiman oleh media.

"Anak guam kami ingin menjelaskan komitmennya yang tidak berbelah bahagi bahawa SPRM akan sentiasa melindungi semua pemberi maklumat yang berada dalam lingkungan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010," kata Megat.

Tambah peguam itu, atas nasihatnya, Azam tidak akan membuat sebarang kenyataan lanjut berhubung perkara ini.

"Dia (Azam) mempunyai keyakinan penuh kepada mahkamah Malaysia untuk mendengar dan memutuskan perkara ini dengan sewajarnya," kata Megat.

Azam mendapat perhatian berhubung pemilikan 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad (sebelum ini KBES Berhad) pada 30 April 2015 bernilai sekitar RM772,000 pada masa itu.

Pegangan sahamnya dalam Gets Global Berhad turun kepada 1,029,500 pada 31 Mac 2016, bernilai sekitar RM340,000 pada masa itu.

Azam juga memegang 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.

Pemilikan saham pada 2015 dan 2016 itu telah menimbulkan persoalan sama ada ia berwajaran dengan pendapatannya sebagai penjawat awam.

Dalam sidang media khas pada 5 Jan lepas, Azam tidak mempertikaikan pemilikan saham tersebut sebaliknya mendakwa ia dibeli atas namanya oleh adik lelakinya.

Bagaimanapun, penjelasan itu menarik perhatian Suruhanjaya Sekuriti kerana kemungkinan penyalahgunaan akaun dagangan.

Lihat Komen
ADS