Rufaqa akan saman pihak cemarkan imej syarikat itu

   

Syarikat Rufaqa Corporation Sdn Bhd (SRCSB) akan menggunakan ruang perundangan untuk membersihkan nama dan imejnya apabila dikaitkan dengan ajaran Aurad Muhammadiah yang diharamkanoleh kerajaan Malaysia.

Ekoran itu, Rufaqa merancang menyaman pihak-pihak yang telah mencemarkan nama dan imej syarikat itu berhubung dakwaan tersebut.

Penasihat Korporat SRCSB Dr Abd Aziz Hashim, berkata, pada masa ini, beliau sedang mendapatkan teks penuh daripada Majlis Fatwa Selangor berhubung pengharaman aktiviti syarikat itu.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, pengeluaran fatwa berkenaan tidak melalui proses undang-undang bertulis dan Perlembagaan Malaysia (juga Enakman Negeri Selangor).

"Pihak SRCSB tidak diberi "right to be heard" (hak untuk didengar) dan setakat ini dibicarakan di media semata-mata," katanya kepada Bernama semalam.

Rufaqa juga sedang merancang untuk mengambil tindakan ke atas pihak-pihak tertentu yang telah menceroboh premis, merampas buku dan aset syarikat dan menahan dua orang pengarahnya serta 100 peserta kursus motivasi baru-baru ini.

Entiti perniagaan

Beliau menafikan SRCSB melalui Pusat Motivasi Harmoni pernah memberi ceramah berkaitan Al-Arqam.

"SRCSB adalah sebuah entiti perniagaan. Tidak ada pengikut. Yang ada ialah pekerja yang diberi upah atau gaji. SRCSB hanya mempunyai hubungan dengan orang perseorangan, badan serta syarikat tertentu, pembekal, pengilang, rumah kedai dan pelanggan tetap," katanya.

Katanya, Rufaqa merupakan sebuah syarikat Bumiputera yang telah dibangunkan tanpa bantuan malah ia berjaya dikembangkan sehingga ke Perancis, Jordan, Syria, Australia, Singapura, Thailand dan Indonesia.

Abd Aziz berkata beliau hairan bagaimana laporan memburukkan Rufaqa boleh tersebar sedangkan pengerusi eksekutifnya, Ustaz Ashaari Muhammad sentiasa melaporkan diri dan setiap aktiviti harian dan perniagaan Rufaqa kepada pihak berkuasa.

Abd Aziz menegaskan, pekerja dan staf Rufaqa bersembahyang dengan kaedah yang sama dengan masyarakat Islam di negara ini.

Beliau sendiri mengaku tidak pernah terlibat dengan ajaran Aurad Muhammadiah dan hanya mengenali Ashaari pada tahun 2000.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In