mk-logo
Berita
Baju oren: SPRM jangan pilih kasih - Rais Yatim
Diterbitkan:  Jan 14, 2022 3:13 PM
Dikemaskini: 8:10 AM

Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) Rais Yatim mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menangani isu layanan pilih kasih dalam pemakaian baju lokap SPRM terhadap tertuduh.

Rais, berkata ini adalah antara isu yang dibincangkan oleh JKMR, yang merupakan satu daripada lima badan pengawasan terhadap SPRM.

"Setiap individu yang menghadapi pertuduhan harus diberi layanan sama.

"Pada masa ini ada pihak-pihak ditangkap kemudian hendak dibawa ke mahkamah, ada berpakaian oren, tetapi ada pula tak pakai langsung.

"Ada pakai kot dengan tali lehernya sendiri. Seolah masuk untuk bermesyuarat, kami zahirkan pandangan, jika baju oren itu atas apapun alasan diguna, biar lah semua kena. Tidak dipilih antara satu pihak dan pihak lain," katanya pada sidang akhbar di parlimen hari ini.

Turut hadir sidang akhbar Rais hari ini ialah anggota JKMR lain iaitu Senator Zaiedi Suhaili, Ahli Parlimen Pasir Gudang PKR Hassan Abdul Karim dan Ahli Parlimen Bukit Bendera DAP Wong Hon Wai.

SPRM di bawah ketua pesuruhjaya Latheefa Koya pada 2019 mengumumkan bahawa ia akan menghentikan pakaian lokap SRPM warna oren terhadap suspek selepas aduan bahawa individu berprofil tinggi dikecualikan daripada memakainya kerana dianggap sebagai penghinaan.

Pun begitu, amalan itu diteruskan SPRM bawah ketua pesuruhjaya Azam Baki.

Azam menjelaskan pemakaian baju lokap berwarna oren oleh SPRM terhadap Orang Kena Tuduh (OKT) adalah untuk membezakan individu yang ditahan oleh suruhanjaya itu dengan mereka yang ditahan oleh agensi penguatkuasaan lain.

“Baru-baru ini SPRM ada buat tangkapan sampai tujuh orang, bayangkan mereka tidak pakai baju oren kita pun tidak dapat mengenal pasti OKT dan mungkin ketika itu terdapat penahanan reman OKT oleh polis.

"Jadi, kita tidak dapat membezakan mana satu OKT kita (SPRM) dengan polis, bercampur aduk...," katanya pada Oktober 2020.

Menurut Azam lagi, pemakaian baju oren bagi OKT diuruskan oleh Bahagian Keselamatan SPRM tertakluk di bawah Akta SPRM 2009 dan bergantung kepada budi bicara pegawai penyiasat sekiranya mereka merasakan terdapat keperluan untuk OKT memakai baju berkenaan.

“Sekiranya tidak, maka boleh juga. Ia bergantung mengikut kes, sebab ada kes yang perlu pakai baju oren dan ada yang tak perlu (pakai),” katanya.

Lihat Komen
ADS