Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Badan pemikir lancar penjejak ucapan kebencian, sasar media sosial

Sebuah badan pemikir, The Centre Malaysia hari ini melancarkan penjejak yang direka untuk memantau ucapan kebencian di media sosial.

Penjejak yang dipanggil 'Tracker Benci' itu merupakan prototaip yang dibangunkan oleh The Centre untuk menapis dan menanda perbincangan atas talian di Malaysia yang mengandungi unsur kebencian.

Bercakap pada majlis pelancaran secara maya hari ini, ahli panel dan penganalisis kanan Institut Kajian Strategik & Antarabangsa (ISIS) Tashny Sukumaran menafikan tindakan membanteras ucapan kebencian boleh menyekat kebebasan bersuara.

"Saya fikir ini adalah salah tanggapan yang sangat berbahaya bahawa penjejak seperti #TrackerBenci sebenarnya cuba diperbetulkan.

“Sekarang, kebebasan bersuara bukan bermakna bebas daripada bantahan, bukan? Anda perlu memahami akibat daripada apa yang anda katakan.

“Penjejak seperti ini sebenarnya boleh menjadi alat yang tidak ternilai dalam menunjukkan kepada orang ramai perbezaan antara membuat kritikan yang sah dan kenyataan yang disasarkan yang bertujuan untuk memburukkan kumpulan terpinggir.

“Yang penting ialah kita sentiasa memerlukan lebih banyak data," katanya.

Tashny (gambar, atas) menyatakan contoh atas talian di mana perbincangan mengenai isu seperti pelarian, hak wanita atau pergerakan #MeToo dalam talian, selalunya terdapat ucapan kebencian atau kritikan yang kasar.

"Jika kita tidak mempunyai cara untuk mengkategorikan ini dan melihatnya serta mengkajinya secara objektif, anda akan memiliki idea bahawa semuanya baik sedangkan ia sebaliknya," katanya.

Ucapan kebencian dalam negara demokrasi

Bekas Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof pada majlis pelancaran yang sama menyatakan kesan buruk ucapan kebencian terhadap demokrasi.

“Ketika saya bertugas sebelum ini sebagai speaker Dewan Rakyat, saya dapat melihat akibat ini dengan jelas.

"Saya dapat melihat kesan ucapan yang menyinggung perasaan dan kebencian, sama ada disengajakan atau tidak, terhadap fabrik demokrasi dan masyarakat kita, walaupun dalam lingkungan Parlimen, di mana ahli parlimen menyebut yang lain sebagai yang berhormat dengan mudah boleh bertukar menjadi makian yang tidak perlu yang menghampiri ucapan kebencian.

"Malangnya, ini masih berlaku dalam masyarakat kita, yang mesti kita kurangkan bersama-sama dan hapuskan setakat mana ia boleh dilakukan," kata Ariff yang berharap penjejak itu dimaklumkan kepada ahli parlimen.

Laman web #TrackerBenci menampilkan Kalkulator Benci - yang mengukur kemungkinan frasa kebencian - dan data yang dikumpul daripada penyelidikan.

Menurut laman web penjejak, 51 peratus perkataan yang direkodkan oleh Kalkulator Benci telah dikenal pasti sebagai berpotensi berbahaya.

Pada masa ini, penjejak mengenal pasti ucapan kebencian ini hanya terhad di Twitter dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Bagaimanapun, penyelidik The Center, Tham Jia Vern berkata kemungkinan meluaskan inisiatif ke platform media sosial lain pada masa hadapan.

"Kami tidak sabar untuk mengembangkan inisiatif ini ke Facebook dan seterusnya, tetapi terdapat batasan teknikal buat masa ini - contohnya, mendapatkan dan menganalisis data mereka secara berskala besar," katanya.

Lihat Komen
ADS