mk-logo
Berita
Perpaduan umat PAS, Umno 'wajib bukan sunat' - Khairuddin
Diterbitkan:  Jan 14, 2022 1:39 PM
Dikemaskini: Jan 16, 2022 9:27 AM

Ahli Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali yang dipecat jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat mengingatkan hukum syarak "wajib" untuk mengusahakan perpaduan antara partinya dan Umno.

"Muafakat Nasional yang dimeterai pada 14 September 2019 telah berjaya mendamaikan dua kelompok umat Islam Melayu yang "berperang" lebih 41 tahun sejak 1978 kerana politik.

"Ramai yang menangis kesyukuran kerana perpaduan ini," katanya pada satu hantaran di media sosial hari ini.

Ia kenyataan pertama Mohd Khairuddin selepas penyingkirannya daripada kepimpinan PAS.

"Ia bukan isu perpaduan pemimpin kerana pemimpin politik meskipun bergaduh masih boleh duduk semeja makan dan minum senyum dan tawa.

"Tetapi ia melibatkan hubungan ahli marhaen yang lurus dan tulus dengan parti masing-masing.

"Menjadi tanggungjawab pemimpin untuk memperkasakan dan menyuburkan lagi perpaduan yang telah berjaya dibina ini kerana perpaduan antara umat Islam dari dua kelompok besar melebihi empat juta ahli ini pada hukum syaraknya wajib diusahakan bukannya sunat.

"Mereka yang cuba merobohkan perpaduan ahli dua parti Melayu Islam tentulah mereka yang berkepentingan diri dan berhawa nafsu duniawi bukan demi kepentingan umat," jelasnya.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang hari ini mengesahkan jawatan Mohd Khairuddin sebagai AJK PAS digugurkan.

Pemecatan itu dibuat tidak sampai dua bulan dia dilantik ke jawatan itu, setelah tewas dalam pemilihan pusat parti itu.

Menurut Abdul Hadi, keputusan pengguguran Mohd Khairuddin itu dibuat parti pada mesyuarat yang diadakan kelmarin di ibu pejabat parti itu, di Kuala Lumpur.

Pada 23 November lalu, Mohd Khairuddin merupakan antara tiga pemimpin tertinggi PAS yang dilantik semula sebagai AJK PAS bagi sesi 2021-2023 selepas tewas dalam pemilihan parti di samping Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Khairuddin sebelum ini dilantik ke jawatan itu bersama bekas ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Mohd Zuhdi Marsuki, setiausaha politik Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ketiga-tiga mereka dilihat sebagai pimpinan PAS yang lebih cenderung terhadap kerjasama politik dengan Umno berbanding Bersatu.

PAS setakat ini mahu menjalinkan kerjasama dengan kedua-dua parti itu, walaupun Umno dilihat bertegas tidak mahu bersama Bersatu.

Lihat Komen