Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Machap, Johor, Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman mengakui beliau telah membina sebuah banglo tanpa memohon kelulusan pelan bangunan daripada Majlis Daerah Simpang Renggam.

Katanya, banglo enam bilik itu dibina di kawasan tanah lot dalam Pekan Sungai Renggam.

Abdul Hamid yang juga Ketua Umno Bahagian Simpang Renggam, mengesahkan demikian ketika diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak tertentu di bahagiannya.

Penduduk juga mendakwa, wakil rakyat tersebut memiliki sebuah kilang papan yang mereka dakwa turut dibina di atas tanah milik orang lain.

Abdul Hamid berkata beliau memang menyedari cerita tersebut disebar secara lisan serta edaran bahan bercetak di kawasannya.

Bagaimanapun, Abdul Hamid berkata, beliau telahpun menghantar pelan untuk mendapatkan kelulusan majlis berkenaan tiga bulan lalu.

"Banglo belum siap lagi... Saya dimaklumkan pelan tersebut dalam proses untuk diluluskan," katanya ketika dihubungi malaysiakini untuk mendapat penjelasannya mengenai dakwaan tersebut.

Bekas tanah pertanian

Banglo milik Abdul Hamid itu dibina di kawasan seluas 5,000 kaki persegi. Terdapat 16 lot kedai dan 15 banglo yang sudah siap dibina, yang didakwa Abdul Hamid, juga tidak mendapat kelulusan Majlis Daerah Simpang Renggam.

Katanya, kawasan tersebut merupakan bekas tanah pertanian, dengan geran hak milik secara bersama.

Menurutnya, beliau pernah berusaha untuk mendapatkan geran individu tetapi ramai pemilik tidak mahu kerana mereka terpaksa membayar RM2,000 atau RM3,000 untuk kerja mengukur lot tanah sebelum Pejabat Tanah mengeluarkan geran hak milik kekal.

"Banglo ini cuma ada enam bilik dan saya membinanya secara berperingkat, bergantung kepada kemampuan kewangan," katanya lagi tetapi enggan menyebut kos pembinaannya.

Mengenai kilang papan itu pula, Abdul berkata, ia tidak ada kena mengena dengan Majlis Daerah Simpang Renggam kerana ia terletak di luar kawasan pentadbiran majlis tersebut.

Menurutnya, kilang papan itu dibina di atas tanah miliknya, dan bukannya tanah orang lain yang didakwa oleh pihak-pihak berkenaan.

Kilang papan

Katanya, beliau telah mematuhi sepenuhnya semua peraturan yang ditetapkan agensi kerajaan walaupun ia kilang papan tersebut terletak jauh dari kawasan orang ramai

Abdul Hamid sebaliknya mendakwa ada orang Umno di bahagiannya menyebarkan cerita yang memburuk-burukknnya.

Malah, katanya, beliau mengenali mereka yang sengaja meyebarkan fitnah tersebut kerana mahu menjatuhkannya dari jawatan Ketua Umno Simpang Renggam dan Adun Machap.

Katanya, mereka ini bertanding untuk menjadi perwakilan bahagian ke perhimpunan agung di Kuala Lumpur bulan lalu.

Bagaimanapun, katanya, mereka kalah dan kerana itu mereka memusuhinya selaku Ketua Umno Bahagian Simpang Renggam.

"Mereka itu saya umpamakan sebagai `baling batu sembunyi tangan' iaitu orang yang tidak berani bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukannya," jelasnya lagi.