Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiga bulan lepas bedah lutut, pemain skuasy digugurkan

Pemain skuasy negara, Low Wee Wern mungkin memilih untuk tidak menjalani pembedahan kerana kecederaan lutut sekiranya dimaklumkan lebih awal bahawa Majlis Sukan Negara (MSN) tidak akan memperbaharui kontrak program latihannya.

Bekas pemain skuasy nombor lima dunia itu antara 180 atlet yang tidak dilanjutkan program latihan bawah MSN.

Dalam perbualan dengan seorang lagi atlet di laman sosial Facebook, Low berkata dia menjalani pembedahan itu di UK tiga bulan lalu.

“Saya melakukan pembedahan pada September, jadi jika anda tahu anda tidak mahu memperbaharui (kontrak) saya untuk tahun berikutnya, sekurang-kurangnya beritahu saya sebelum pembedahan.

"Kemudian saya boleh memutuskan sama ada saya mahu menjalani satu lagi pembedahan atau tidak," katanya.

Low juga mendedahkan dia telah menolak peluang biasiswa di universiti AS untuk meneruskan kerjaya skuasy profesionalnya di Malaysia.

Atlet berusia 32 tahun itu ialah pemain skuasy Malaysia pertama yang memecah rekod berada dalam senarai ranking 10 pemain terbaik tanpa menjalani latihan di luar negara.

"Saya telah membuktikan bahawa dengan jurulatih tempatan dan latihan di Pulau Pinang, kita boleh meraih kejayaan," katanya.

Bercakap kepada Malaysiakini, Low berkata dia faham peruntukan untuk MSN terpaksa dipotong, namun kecewa dengan cara dia dilayan.

“Ini bukan soal duit, kita bercakap tentang prinsip dan sekurang-kurangnya, hormatilah atlet yang banyak berjasa kepada negara.

“Ya, bajet anda terpaksa dipotong, tetapi sekurang-kurangnya anda boleh duduk dan berbincang dengan atlet (untuk menjelaskan keadaan),” tambahnya.

Low (gambar, atas) yang mengetahui nasibnya daripada Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), mengkritik MSN kerana tidak mengeluarkan kenyataan atau notis rasmi mengenai perkara itu.

Begitu juga, jurulatihnya Aaron Soyza yang turut kecewa dan menyifatkan tindakan menggugurkan Low sebagai membingungkan.

Selepas menerima maklum balas kritikan selama dua minggu, MSN menjelaskan keputusannya dan meminta maaf kepada Low.

Majlis itu berkata memandangkan Low memerlukan masa untuk pulih dan tidak akan dapat bersaing dalam tiga pertandingan utama maka MSN, SRAM dan Institut Sukan Negara (ISN) memutuskan untuk tidak menyambung kontraknya.

Ia juga menyatakan bahawa semua komunikasi sebelum ini dengan Low telah dijalankan melalui Persatuan Raket Skuasy walaupun kontraknya untuk MSN.

Low bukan satu-satunya atlet yang kecewa dengan cara MSN menangani isu itu.

Sebelum ini, dilaporkan bekas juara dunia sukan terjun Cheong Jun Hoong (gambar, bawah) juga tidak tahu mengenai kontraknya yang tidak diperbaharui.

Dua minggu kemudian, dia mengumumkan persaraannya.

“Berdasarkan prestasi saya, saya tidak sangka saya tidak akan mendapat kontrak. Saya terkejut,” katanya melalui temu bual dalam talian itu.

Cheong mencipta sejarah apabila menjadi penerjun pertama dan satu-satunya dari Malaysia yang memenangi gelaran dunia dalam acara 10m platform individu pada Kejohanan Dunia 2017 di Budapest, Hungary.

Mengulas keputusan MSN, pengulas sukan Lim Zheng Han berkata atlet yang berpotensi mungkin kehilangan peluang untuk cemerlang.

Dia berkata memandangkan MSN hanya mengekalkan elaun bulanan untuk pemenang pingat emas, yang lain mungkin berasa lemah semangat.

“Mereka akan hilang motivasi. Kita harus beritahu mereka bahawa mendapat pingat perak atau gangsa, atau ke suku akhir, adalah sesuatu yang boleh dibanggakan,” tambahnya.

Lim juga menegaskan keputusan MSN itu telah mengakibatkan peluang merangkul pingat emas untuk negara semakin tipis kerana atlet yang mungkin menyinar pada masa depan telah kehilangan peluang mereka untuk berbuat demikian.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS