mk-logo
Berita
KKM: Doktor kontrak perubatan, pergigian layak program sambung belajar
Diterbitkan:  Jan 15, 2022 1:07 PM
Dikemaskini: 5:59 AM

Selepas lebih lima tahun kerajaan memperkenalkan sistem doktor kontrak yang kontroversi, Kementerian Kesihatan akhirnya mengubah peraturan untuk membolehkan doktor kontrak layak mengikuti program pengajian lanjutan yang membolehkan mereka menjadi pakar.

Pegawai pergigian yang bekerja di bawah sistem kontrak ini juga layak untuk program tersebut.

Kumpulan seperti gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) telah lama menyeru perubahan sedemikian.

Perkembangan itu diumumkan melalui surat bertarikh 5 Jan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan Harjeet Singh.

Menurut soalan lazim pada lampiran surat itu, pegawai perubatan dan pegawai pergigian kini layak mengikuti Program Latihan Kepakaran (PLK) selama empat tahun.

"Calon yang memenuhi syarat boleh memohon penajaan mengikuti PLK melalui Sistem eHLP di http://ehlp.moh.gov.my/.

HLP singkatan kepada Hadiah Latihan Persekutuan, biasiswa kerajaan persekutuan untuk program pakar.

Surat itu menyatakan syarat permohonan PLK akan diumumkan apabila permohonan dibuka kepada orang ramai.

Menurut notis di laman Facebook Kementerian Kesihatan, permohonan PLK untuk pegawai perubatan dan pergigian kontrak akan dibuka pada 28 Jan.

Doktor kontrak: Terima kasih KJ

Sebagai maklum balas terhadap perkembangan ini, gerakan HDK mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin kerana memenuhi janjinya memastikan doktor kontrak diberi laluan untuk menjadi pakar.

“Khairy sememangnya telah membuktikan kesediaan dan keazamannya untuk menyelesaikan isu yang membelenggu doktor kontrak sejak lima tahun lalu.

“Kami berharap terma dan syarat untuk memohon HLP akan diputuskan tidak lama lagi.

“Kami juga percaya Khairy juga akan mengambil tindakan yang perlu untuk menyelesaikan masalah lain yang dihadapi oleh doktor kontrak, seperti yang disampaikan semasa pertemuannya dengan HDK pada 21 Sept 2021,” kata HDK pada satu kenyataan hari ini.

Isu selebihnya ini termasuk memastikan "syarat telus" untuk doktor kontrak diberi jawatan tetap; faedah dan manfaat yang sama kepada doktor tetap dan kontrak; serta meminda Akta Pencen 1980 untuk memastikan “semua doktor kontrak” menerima jawatan tetap serta perlindungan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

“Kami amat yakin dengan Khairy Jamaluddin dan pasukannya dalam menunaikan baki janji mereka demi doktor muda dan sistem penjagaan kesihatan Malaysia secara amnya,” tambah HDK.

Pada Julai 2021, gerakan HDK mengadakan mogok di seluruh negara menuntut keadaan kerja yang lebih baik dan menamatkan "sistem dua tingkat" yang mendiskriminasi doktor pelatih yang bekerja secara kontrak di hospital kerajaan.

Doktor kontrak telah memainkan peranan penting dalam tindak balas negara terhadap pandemik Covid-19.

Lihat Komen
ADS