Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pindaan Akta 342: PSC kesihatan bimbang denda maksimum RM2 juta
Diterbitkan:  Jan 15, 2022 4:21 PM
Dikemaskini: 8:21 AM

Badan pengawasan parlimen melahirkan kebimbangan berhubung cadangan pindaan RUU Akta 342 yang mencadangkan jumlah denda maksimum kepada RM2 juta.

Akta 342 merujuk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Pada 20 Dis tahun lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menangguhkan bacaan kedua dan ketiga rang undang-undang pindaan itu untuk membolehkan perbincangan lanjut.

Semalam, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai Kesihatan, Sains Dan Inovasi yang dianggotai ahli parlimen kerajaan dan pembangkang telah membincangkan perkara itu bersama Khairy dan kementeriannya.

Pengerusi PSC Kesihatan Kelvin Yii berkata kebimbangan utama termasuk denda tinggi yang dicadangkan serta kemungkinan akta itu boleh dikuatkuasakan secara terpilih terhadap komuniti yang paling berisiko.

“Jawatankuasa itu menyatakan keberatan terhadap denda tinggi yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Dan membincangkan dan meneroka pilihan lain untuk dipertimbangkan supaya memastikan pematuhan dengan lebih baik sambil mengimbangi risiko ia disalahgunakan.

“Isu penguatkuasaan terpilih, tidak terkawal yang boleh membawa kepada risiko rasuah turut dibangkitkan, dan cara untuk melindungi orang ramai daripada perkara itu turut dibincangkan,” kata ahli parlimen DAP Bandar Kuching itu dalam satu kenyataan hari ini.

PSC menekankan keperluan untuk meletakkan penanda aras berdasarkan "amalan terbaik di seluruh dunia".

Yii berkata mereka juga mahu keputusan dibuat berdasarkan data sama ada denda yang lebih tinggi sememangnya menggalakkan orang ramai mematuhi undang-undang atau sebaliknya.

"Kami berjaya mencapai beberapa konsensus dan mencari jalan tengah mengenai peruntukan tertentu akta itu sendiri, termasuk menambah perlindungan yang diperlukan kepada doktor dan pengamal am yang melaporkan kes disyaki penyakit berjangkit untuk memastikan mereka dilindungi dengan lebih baik," tambahnya.

Pada Disember tahun lalu, kerajaan mencadangkan untuk meminda Akta 342 bagi membantu menangani wabak Covid-19.

Ia susulan bantahan pembangkang dan RUU itu telah dipinda beberapa kali.

Jumlah denda maksimum terkini yang dicadangkan ialah RM2,000 untuk individu dan/ atau penjara maksimum dua tahun.

Sementara itu, denda maksimum yang dicadangkan untuk sebuah syarikat ialah RM2 juta.

Jumlah kompaun maksimum yang dicadangkan pula ialah RM1,000 untuk individu dan RM500,000 untuk sebuah syarikat.

Pada kenyataan hari ini, Yii berpendapat rang undang-undang itu perlu diteliti oleh PSC sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Amalan seperti itu untuk menyemak rang undang-undang kerajaan oleh jawatankuasa pilihan khas dwi-partisan sebelum dibentangkan di parlimen adalah jalan ke hadapan, terutamanya jika kita mahu membina demokrasi yang kukuh dan matang,” katanya.

Lihat Komen
ADS