Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Buka pendengaran PSC kes Azam pada media, orang awam'

Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Rabu ini di mana Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dipanggil untuk menjawab mengenai pemilikan sahamnya perlu dibuka kepada orang ramai dan media, kata Edmund Terence Gomez.

Gomez yang pernah menganggotai Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM sebelum meletak jawatan sebagai bantahan berhubung isu itu baru-baru ini menegaskan adalah penting untuk memastikan tiada sebarang usaha untuk menyembunyikan kebenaran.

"Saya alu-alukan PSC, tapa saya juga ingin berhujah bahawa PSC mesti terbuka kepada media dan orang ramai. Adalah penting bahawa media juga mengetahui perbincangan dalam PSC.

"Oleh kerana kita perlu memastikan ahli politik ini bertanya soalan yang betul... ada kajian terbuka dan terperinci mengenai dakwaan ini. Itu hanya boleh dilakukan apabila ada pengawasan awam," katanya kepada Malaysiakini.

Minggu lalu, Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha menghantar notis kepada anggota PSC mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, memanggil mereka untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan pemilikan lebih dua juta saham oleh Azam dalam dua syarikat senaraian awam.

Gomez juga mendakwa terdapat kebimbangan mengenai ahli PSC yang merupakan ahli politik dalam menjalankan pendengaran.

"Adakah akan ada percubaan untuk menghalang soalan tertentu daripada ditanya? Adakah terdapat cubaan oleh ahli politik tertentu menyembunyikan hal sebenar?

"Untuk memastikan tiada perkara ini berlaku, buka mesyuarat PSC kepada media. Jemput orang ramai untuk datang dan mendengar apa yang berlaku dalam PSC," kata pakar ekonomi itu.

Edmund Terence Gomez

Apa yang dicadangkan oleh Gomez sebelum ini telah diperkatakan pada 2015, apabila gesaan serupa dibuat agar pendengaran Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) Negara mengenai 1MDB disiarkan secara langsung di televisyen.

Walaupun pada awalnya ia dipersetujui oleh PAC, Speaker Dewan Rakyat ketika itu Pandikar Amin Mulia telah menolak cadangan itu, dengan memberi alasan peraturan Parlimen.

Menurut Pandikar, Peraturan Mesyuarat 85 Parlimen tidak membenarkan mana-mana jawatankuasa di bawah Dewan untuk menyiarkan kandungan perbincangannya selagi penyata prosiding masih belum diserahkan kepada Dewan Rakyat.

Peraturan Mesyuarat itu tidak berubah dan masih berkuat kuasa sehingga hari ini.

Pembaharuan institusi

Sementara itu, Gomez turut menggesa pembaharuan institusi besar-besaran bagi menangani SPRM dan institusi lain yang dilanda dakwaan salah laku.

Ini termasuk Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) yang telah dikaitkan dengan dakwaan rasuah, katanya.

“Walaupun kita perlu menangani dakwaan terhadap Azam, mengambil kira perkembangan situasi ketika ini, terdapat perbincangan yang lebih besar berlaku mengenai kemungkinan konflik kepentingan yang melibatkan pemimpin institusi lain.

"Inilah yang saya panggil kegagalan institusi. Maksud saya, kini terdapat dakwaan serius melibatkan institusi pengawasan utama, iaitu SPRM, SSM dan Bank Negara.

"Jadi meskipun PSC dialu-alukan dalam menangani masalah yang melibatkan SPRM, kita kini juga perlu menangani masalah dengan institusi lain yang kini dibelenggu dengan tuduhan serius," katanya.

Gomez berkata pembaharuan institusi yang besar diperlukan supaya institusi itu boleh bertindak secara bebas tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Azam menjadi tumpuan baru-baru ini selepas timbul dakwaan mengenai dia memiliki saham dalam dua syarikat pada 2015.

Menurut laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, Azam adalah ketua bahagian siasatan SPRM.

Bagaimanapun, dalam sidang media pada 5 Jan lepas, Azam berkata dia tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana saham itu dibeli adiknya yang menggunakan namanya.

Isu itu juga telah menyebabkan Gomez mengemukakan peletakan jawatannya daripada PPPR SPRM, mendakwa pengerusinya Borhan Dollah tidak menjawab permintaannya supaya panel itu mengadakan mesyuarat mengenai dakwaan terhadap Azam.

Lihat Komen
ADS