Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Kelantan terima RM400 juta hasil petroleum bagi 2020, 2021
Diterbitkan:  Jan 16, 2022 1:59 PM
Dikemaskini: 5:59 AM

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan kerajaan Kelantan memperolehi peruntukan RM400 juta hasil daripada petroleum pada 2020 dan 2021.

Katanya, jumlah itu merangkumi lima peratus daripada hasil pengeluaran medan-medan yang berdekatan negeri itu.

"Apa yang penting peruntukan secara langsung diterima sebelum 2019 berjumlah RM28 juta, di bawah kerajaan kerajaan sekarang kita salurkan RM200 juta pada 2020 dan 2021 kepada Kelantan iaitu lima peratus, kita tak ambil satu sen pun," katanya.

Dia berkata demikian pada sesi soal jawab ketika program taklimat kepada kakitangan awam Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Tengku Zafrul bagaimanapun berkata dia tidak boleh mengulas mengenai istilah peruntukan tersebut, sama ada ia royalti atau wang ihsan kerana membabitkan isu perundangan.

"Itu terpulang kepada undang-undang, saya tak boleh jawab. Saya fokus kepada peruntukan," katanya.

Tambahnya, apa yang perlu ditekankan adalah kerajaan persekutuan sebelum ini tidak menyalurkan peruntukan secara langsung kepada Kelantan dan potongan dibuat bagi pembayaran balik hutang kerajaan negeri.

"Apa-apa nak bagi dia potong dulu sebelum ini. Justeru penyaluran pada 2019 contohnya hanya RM28 juta. Di bawah kerajaan persekutuan sekarang, pembayaran dibuat secara langsung kepada kerajaan negeri dan 100 peratus disalurkan.

"Dengan itu penyaluran ini meningkat berlipat kali ganda daripada RM28 juta. Pada tahun lepas (2021) RM200 juta dan tahun sebelum itu pada 2020 juga RM200 juta. Terpulang kepada hasil petroleum semasa," jelas Zafrul.

Lihat Komen
ADS