mk-logo
Berita
Pendengaran PSC isu saham Azam tidak dibuka kepada umum - Speaker
Diterbitkan:  Jan 16, 2022 8:28 PM
Dikemaskini: 12:33 PM

Mesyuarat jawatankuasa pilihan khas parlimen (PSC) yang dijadualkan pada Rabu akan datang untuk membincangkan pegangan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki tidak akan dibuka kepada orang ramai berikutan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Speaker parlimen Azhar Azizan Harun berkata peraturan itu terpakai bagi semua prosiding PSC.

“Peraturan mesyuarat tidak membenarkan prosiding terbuka.

“Malah, peraturan mesyuarat juga tidak membenarkan perbincangan atau pendedahan saksi, kenyataan saksi dan kandungan prosiding sehingga laporan telah dibentangkan kepada Dewan Rakyat,” katanya, seperti dilaporkan The Star hari ini.

Hal ini, kata Azhar bertujuan untuk memelihara integriti prosiding tersebut serta memastikan kerjasama yang lengkap daripada semua yang terlibat.

Edmund Terence Gomez yang pernah menganggotai Lembaga Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM sehingga meletak jawatan kerana membantah isu itu baru-baru ini pernah menegaskan perlunya prosiding itu dibuka kepada umum dan media.

Dia berkata ini penting bagi memastikan tiada usaha untuk menutup perkara berkenaan.

"Oleh kerana kita perlu memastikan ahli politik ini bertanya soalan yang betul... ada semakan terbuka dan terperinci tentang dakwaan ini. Itu hanya boleh dilakukan apabila ada pengawasan awam," katanya.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat pada Rabu depan untuk membincangkan pemilikan saham Azam dalam dua syarikat senaraian awam.

Mesyuarat itu dijadualkan pada jam 2 petang pada 19 Jan (Rabu).

Gesaan serupa telah dibuat pada 2015 agar pendengaran Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara mengenai 1MDB disiarkan secara langsung di televisyen.

Walaupun pada mulanya dipersetujui oleh PAC, namun speaker Dewan Rakyat ketika itu Pandikar Amin Mulia telah menolak cadangan tersebut, memetik peraturan parlimen.

Menurut Pandikar, Peraturan Mesyuarat Parlimen No 85 tidak membenarkan mana-mana jawatankuasa di bawah dewan itu untuk menyiarkan kandungan perbincangannya selagi penyata prosiding masih belum diserahkan kepada Dewan Rakyat.

Azam berdepan kontroversi baru-baru ini selepas timbul dakwaan mengenai dia memiliki saham dalam dua syarikat pada 2015.

Menurut laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, Azam ialah ketua bahagian siasatan SPRM.

Bagaimanapun, pada sidang media pada 5 Jan lepas, Azam berkata dia tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana saham itu dibeli adiknya yang hanya menggunakan namanya.

Lihat Komen
ADS