Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azam tak setuju agenda PSC Rabu ini, pendengaran ditangguhkan
Diterbitkan:  Jan 17, 2022 2:53 PM
Dikemaskini: Jan 18, 2022 3:35 AM

Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyiasat Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang dijadualkan pada Rabu ini telah ditangguhkan susulan bantahannya terhadap cara siasatan itu.

Awal hari ini, pengerusi PSC, Abdul Latiff Rahman (PAS-Kuala Krai) memaklumkan kepada lapan anggota jawatankuasa lain bahawa dia telah menerima maklum balas daripada Azam.

Menurut Azam, jika mesyuarat itu diteruskan pada hari Rabu (19 Januari) seperti yang dijadualkan dan agenda kekal tidak berubah, maka Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat akan dilanggar.

Abdul Latiff Rahman (PAS-Kuala Krai)

Azam berhujah bahawa ini kerana dia telah memfailkan saman fitnah dan perkara yang akan dibincangkan oleh PSC mungkin diterima oleh mahkamah.

Selain itu, Azam berhujah bahawa dia telah pun disiasat oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Jawatankuasa Aduan SPRM.

Memandangkan siasatan akan tertumpu kepada tingkah lakunya, Azam juga berhujah bahawa sebarang perbincangan di Parlimen harus dilakukan melalui usul persendirian dan bukannya jawatankuasa pilihan.

“Dia (Azam) juga berkata (agenda) ini boleh menjadi ultra vires (melangkaui kuasa undang-undang) kepada peruntukan bawah Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952,” kata Abdul Latiff.

Sehubungan itu, menurut pemimpin PAS itu, dia akan merujuk kepada penasihat undang-undang Dewan Rakyat.

Usaha beruang-kali untuk menghubungi Abdul Latiff bagi mendapatkan ulasannya tidak berjaya.

Chan Foong Hin (DAP-Kota Kinabalu)

Bagaimanapun, dua anggota PSC itu - William Leong Jee Keen (PKR-Selayang) dan Chan Foong Hin (DAP-Kota Kinabalu) - mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa mereka menerima mesej daripada pengerusi itu.

Kedua-dua mereka mengesahkan bahawa arahan terbaru yang diterima ialah mesyuarat Rabu ini telah ditangguhkan.

"Kami dimaklumkan pada sekitar tengah hari ini," kata Chan.

Leong berkata adalah prerogatif Abdul Latiff untuk mendedahkan terma rujukan siasatan itu.

“Saya telah meminta mesyuarat PSC untuk pengerusi mengumumkan terma rujukan untuk siasatan itu,” katanya.

Azam, 58, dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM oleh Yang di-Pertuan Agong pada Mac 2020 atas nasihat perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin.

Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM

Rekod awam menunjukkan bahawa Azam adalah pemegang waran penting dalam syarikat senarai awam Excel Force MSC Snd Bhd setakat Mac 2016 semasa dirinya adalah ketua jabatan siasatan SPRM.

Isu ini mencuri tumpuan pada Disember tahun lalu selepas ahli akademik Edmund Terence Gomez meletak jawatan sebagai anggota Jawatankuasa Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, atas dakwaan panel itu enggan meneliti perkara berkenaan.

Susulan itu, Azam mendakwa urusan tersebut berlaku kerana akaun dagangannya digunakanoleh adiknya, Nasir.

Justeru, Azam berhujah bahawa dia tidak mempunyai kepentingan kewangan dan tidak ada unsur konflik kepentingan.

Bagaimanapun, pengkritik berpendapat bahawa Seksyen 23 Pekeliling Perkhidmatan 3/2002 melarang penjawat awam daripada memiliki pegangan ekuiti saham melebihi RM100,000.

Meskipun SPRM adalah bawah seliaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, namun setakat ini, dia membisu mengenai kontroversi berkenaan.

Semua Jawatankuasa Pilihan Parlimen adalah dwi-partisan dan mempunyai kuasa untuk memanggil sesiapa sahaja sebagai saksi. Setiap siasatan perlu disertakan dengan laporan akhir dengan transkrip prosiding boleh disertakan.

Lihat Komen
ADS