Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jabatan Perhutanan: Notis kayu tak dituntut sebahagian prosedur pembersihan
Diterbitkan:  Jan 18, 2022 12:16 PM
Dikemaskini: 4:19 AM

Pemaparan notis berkenaan kayu balak yang tidak dituntut yang hanyut semasa banjir di Bentong, Pahang bulan lalu adalah sebahagian daripada prosedur pembersihan, kata Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Pengarahnya Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata arahan pembersihan itu juga adalah bagi tujuan mengumpulkan kayu-kayu hanyut terbabit untuk ditentukan nilaian kayu-kayu itu sebelum pelupusan dibuat, sebagaimana tatacara yang dibenarkan mengikut peruntukan undang-undang.

“Ia bukan terhad kepada kayu yang dibalak.

"Pembersihan kawasan ini juga bagi mengelakkan berlakunya kesan banjir kali kedua yang boleh menjejaskan lagi keadaan.

"Penjelasan Notis Awam yang dikeluarkan oleh Pejabat Hutan Daerah Bentong adalah mengikut Prosedur pelupusan kayu-kayan yang dibenarkan mengikut peruntukan Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Hizamri, menurut seksyen 76 akta itu, "kayu balak tidak dituntut" juga merujuk kayu yang hanyut dalam situasi tersebut, walaupun tiada pembalakan di kawasan terbabit.

Hizamri berkata demikian sebagai maklum balas kepada Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis yang menyiarkan gambar notis tuntutan bagi kayu balak yang dihanyutkan banjir baru-baru ini berhampiran Sungai Perdak, Pahang, dan gambar kayu balak yang ditanda.

“Kalau tak ada siapa yang punya, kenapa ada notis tuntutan?

"Siapa yang menuntut kayu-kayu balak ini? Siap ada label lagi,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.

Bagaimanapun, Hizamri berkata di bawah Seksyen 77 Akta Perhutanan Negara, notis awam mesti dikeluarkan setelah 14 hari untuk orang ramai memfailkan tuntutan dan membuktikan pemilikan kayu tersebut kepada jabatan, yang mungkin diluluskan atau ditolak.

"Jika tiada tuntutan berkaitan dengan pemilikan kayu hanyut tersebut, maka pemilikan kayu tersebut terletak kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk tujuan pelupusan," katanya lagi.

Moratorium pembalakan

Di sebalik penjelasan itu, Napsiah menggesa JPNP untuk bertanggungjawab selain mewujudkan moratorium bagi kelulusan konsesnsi balak.

Katanya, mereka yang terjejas oleh kejadian itu harus diberi pampasan atas kerosakan yang dialami.

Siasatan juga harus dijalankan secara profesional dan telus bagi memastikan pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan, katanya lagi.

"Kejadian ini ialah malapetaka alam sekitar yang semua pihak kena belajar dan pastikan ia tak berulang," katanya kepada Malaysiakini.

Minggu lalu, aktivis alam sekitar Khaidir Ahmad mendakwa aliran lumpur bercampur balak di Telemong antara 18 dan 19 Dis,2021 disebabkan pembersihan tanah untuk ladang durian haram Musang King.

Bagaimanapun, JPNP menafikan serpihan itu adalah hasil pembalakan di Hutan Simpan Lentang seperti yang didakwa.

Jabatan itu memaklumkan semakan di kedua-dua lokasi mendapati sisa kayu yang berselerak di atas jalan dan jambatan merupakan sisa sampah sarap daripada kejadian kepala air di Sungai Temeriak, Sungai Kerau dan Sungai Timbul yang berlaku pada 18 Dis lepas.

Lihat Komen
ADS