Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kecaman warga maya ke atas RFID, PLUS tutup ruangan komen
Diterbitkan:  Jan 18, 2022 3:56 PM
Dikemaskini: 7:56 AM

Susulan reaksi negatif orang ramai, khususnya warga maya yang tidak berpuas hati dengan sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang gagal berfungsi dengan baik sejak diperkenalkan Sabtu lalu, PLUS Malaysia Berhad hari ini menutup ruangan komen di Facebooknya.

Laman PLUS yang kini mendapat carian popular di Facebook hanya dibenarkan untuk menekan butang ‘suka’ dan ‘kongsi’.

Meskipun begitu, hantaran terkini PLUS hari ini menyeru orang ramai supaya beralih kepada sistem pembayaran menggunakan Tag Touch ’n Go kepada RFID untuk perjalanan yang “senang, selamat dan selesa.”

“Kepada pelanggan Lebuhraya PLUS, anda digalakkan untuk beralih kepada sistem pembayaran menggunakan Tag Touch ‘n Go RFID untuk perjalanan yang Senang, Selamat & Selesa.

“Pastikan anda menggunakan lorong yang betul mengikut kaedah pembayaran pilihan anda ketika melalui plaza tol untuk menikmati pengalaman perjalanan yang lebih lancar,” menurut hantaran itu.

Untuk rekod, peralihan sistem pembayaran tol kepada sistem RFID dilakukan secara berperingkat, bermula 15 Januari lalu bagi kenderaan ringan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai Johor di Lebuhraya Utara-Selatan.

Ia menggantikan sistem Touch ’n Go dan SmartTAG.

Pada masa sama, di Twitter, RFID turut menjadi bualan warga maya yang rata-ratanya menyuarakan rasa tidak puas hati mereka. Sistem baru itu disifatkan sebagai sistem yang menyusahkan orang ramai dari segi masa dan wang, memandangkan hanya satu kereta boleh menggunakan pelekat RFID. Ini berbeza dengan SmartTAG atau Touch n’ Go.

Tidak kurang juga ada yang mempertikaikan tindakan peralihan tersebut kerana ia tidak menggambarkan seperti yang dijanjikan, tetapi melihat ia sebagai langkah ke belakang.

Seorang pengguna Twitter @azaleakamillia berkata RFID merupakan sistem yang tidak berfungsi dengan baik, sambil menjelaskan bahawa sebarang teknologi yang baru perlu menjalani ujian yang menyeluruh sebelum ia dilaksanakan.

“Sesiapa bekerja yang ada kena-mengena dengan teknologi perlu tahu bahawa untuk melaksanakan perkara yang baru memerlukan ujian yang menyeluruh,” katanya.

@AimanPsikologi pula menyindir kenyataan bahawa sebelum ini terdapat pihak yang mengatakan peralihan itu akan dilakukan secara berperingkat.

“Hari ini plaza tol di kawasan rumah kami akhirnya 'robohkan' lorong Smart Tag dan tukar jadi RFID, manakala lorong Touch n Go kekal seperti biasa.

“Cuba teka apa terjadi? Penuh adegan lampu reverse kereta menyala.

“Mana entah aritu poster kata "ditukar secara perlahan-lahan,” katanya.

Pada 19 Disembertahun lalu, Timbalan Menteri Kerja Raya Arthur Joseph Kurup di Dewan Negara memaklumkan bahawa penggunaan kad Touch 'n Go dan SmartTAG mungkin akan diberhentikan pada penghujung 2023 secara berperingkat.

@saiesarmosorn pula berkata; “Laksana dulu kaji kemudian.”

@CherWin0528 turut menyindir slogan RFID dengan mengatakan; “Slogan utk RFID ialah “Future Ready”. Maybe Future ialah traffic jam.”

Terdahulu, bekas perdana menteri Najib Razak turut mempersoalkan kewajaran pelekat RFID yang dijual terlalu mahal sehingga mencecah RM35 sedangkan kos pelekat itu di bawah RM1 sekeping.

Najib turut mempersoalkan sama ada syarikat Touch N Go atau PLUS akan memberi rebat bagi pemilik Smartag yang tidak lagi berfungsi sekiranya plaza tol beralih sepenuhnya kepada sistem RFID atau sebaliknya.

Semalam, Menteri Kanan Kerja Raya Fadillah Yusof mengarahkan PLUS, mencari penyelesaian berhubung isu kesesakan yang dilaporkan berlaku di plaza tol berikutan pelaksanaan sistem teknologi RFID.

Lihat Komen
ADS