Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono membalas hantaran Facebook Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berhubung isu membabitkan Rohana Abdullah, 22 yang sehingga kini masih belum mendapat kewarganegaraan Malaysia.
Menerusi komen pada catatan Facebook Hamzah16 Jan lalu, Hermono berkata kedutaan Indonesia akan mencari penyelesaian terhadap isu itu demi masa depan Rohana.
"YB Datuk Seri, sekiranya benar ibu dari adik Rohana adalah warga Indonesia, Kedutaan akan mencarikan solusi agar dia memiliki identitas (citizenship) demi masa depannya. Terima kasih Datuk Seri atas kepeduliannya," kata Hermono.
Sumber dari Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur berkata polisi negara itu adalah untuk memberikan perlindungan maksimum kepada setiap warganegaranya, termasuk mereka yang berada di luar negara malah kepada mereka yang lahir di Malaysia, walaupun ibu mereka tidak mempunyai dokumen yang diperlukan.
“Kewarganegaraan adalah hak asasi manusia yang kami ambil serius,” kata sumber itu.
Sumber itu mendedahkan bahawa pada 2021, mereka telah mempermudahkan dokumentasi lebih 6,000 kanak-kanak berumur antara satu hari dan 21 tahun untuk pulang ke Indonesia.
“Begitu juga, lebih kurang 22,000 orang dewasa tanpa izin yang disahkan kewarganegaraannya warga Indonesia dibekalkan dengan dokumen perjalanan, juga dikenali sebagai SPLP, untuk pulang ke Indonesia tahun lepas.
“Walaupun orang dewasa dan kanak-kanak ini kembali melalui program rekalibrasi semula, jumlah keseluruhan warga Indonesia yang mengambil kesempatan daripada program ini adalah lebih tinggi dan data itu adalah dengan Jabatan Imigresen Malaysia.
“Bagi memastikan kanak-kanak ini selamat pulang ke Indonesia, masing-masing telah dikeluarkan tiga dokumen penting yang terdiri daripada kewarganegaraan Indonesia, pendaftaran kelahiran dan dokumen perjalanan,” kata sumber itu.
Banyak kes serupa seperti Rohana
Hamzah berkongsikan laporan portal berita Harian Metro, yang memaparkan kisah Rohana yang sehingga kini masih tidak memiliki kewarganegaraan.
Rohana juga terpaksa berhenti sekolah pada usia yang masih muda kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Dalam catatan Facebook 16 Jan lalu, Hamzah berkata dia telah mengarahkan pegawainya untuk menyiasat perkara itu.
"Saya berasa tersentuh apabila dimaklumkan berhubung perkara ini pada minggu lalu dan telah mengarahkan pegawai saya untuk menyiasat kesahihan maklumat yang diberikan terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan," katanya.
Pada 17 Jan, Bernama memetik Hamzah sebagai berkata terdapat banyak kes seperti Rohana di seluruh negara, terutama di Sabah dan Sarawak.
Dia turut berkata isu individu yang tidak memiliki kewarganegaraan merupakan antara agenda KDN.
Kisah itu turut menarik perhatian Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.
Media sebelum ini melaporkan Rohana, 22, ditinggalkan ibunya seorang warga Indonesia dan dijaga selama hampir 20 tahun oleh seorang wanita, Chee Hoi Lan, 83.
Meskipun berlainan bangsa, Chee memastikan Rohana mendapat pendidikan agama Islam dan mengamalkan ajaran agama itu.
Chee merupakan guru tadika di tempat ibu Rohana bekerja sebagai pekerja pembersihan.
