Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kehilangan Paderi Hilmy dan isteri mengikut corak'
Diterbitkan:  Jan 20, 2022 4:01 PM
Dikemaskini: 8:03 AM

Inkuiri atau siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini dimaklumkan bahawa Paderi Joshua Hilmy dan isteri warga Indonesia Ruth Sitepu; Paderi Raymond Koh serta aktivis sosial Amri Che Mat hilang dalam tempoh singkat antara November 2016 dan Feb 2017.

Peguam Sitepu, Phillip Koh berkata, kehilangan itu berlaku sejurus selepas ucapan pegawai kanan cawangan khas di Kompleks KDN, Kuala Lumpur, pada November 2016.

Peguam itu mendakwa bahawa ucapan berkenaan, yang disampaikan semasa satu seminar mengenai keganasan, mendakwa bahawa ketika kerajaan Malaysia sibuk menyiasat kumpulan pengganas seperti Negara Islam (IS), ia melupakan "musuh sebenar" seperti "pendakwah Kristian dan mualaf Syiah".

Phillip berkata ucapan itu menyebut bahawa akibat pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pihak berkuasa terpaksa menggunakan cara di luar undang-undang untuk menangani dakwaan cubaan menukar agama dan memurtadkan masyarakat Melayu.

Peguam itu menegaskan bahawa susulan ucapan itu, Amri - yang didakwa mualaf Syiah - telah diculik pada 24 November 2016, dan ini diikuti dengan kehilangan Hilmy dan Sitepu yang kali terakhir dilihat pada 30 November, tahun yang sama. Paderi Koh pula diculik pada 13 Februari 2017.

Phillip berhujah bahawa kehilangan Hilmy dan Sitepu adalah kehilangan secara paksa oleh kerajaan kerana pembabitan pasangan itu dalam penyebaran agama Kristian.

Paderi Koh juga didakwa terlibat dalam penyebaran Kristian.

Meskipun Hilmy dan Sitepu kali terakhir dilihat pada 30 Nov 2016., namun kehilangan mereka hanya dilaporkan hilang pada 6 Mac 2017.

“Kehilangan Joshua Hilmy (dan Sitepu) perlu diletakkan dalam konteks (kehilangan) Paderi Koh dan Amri Che Mat juga.

"Kehilangan ini timbul berikutan pemansuhan ISA," kata Phillip.

Pada 3 April 2019, Suhakam membuat kesimpulan bahawa Paderi Koh dan Amri menjadi mangsa kehilangan paksa susulan penglibatan polis Cawangan Khas dari ibu pejabat polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Phillip hari ini menggulung hujahnya pada hari terakhir siasatan awam Suhakam mengenai kehilangan Hilmy dan Sitepu.

Bagaimanapun, semasa siasatan hari ini, SAC Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, yang hadir bagi pihak polis, menafikan pihak berkuasa terlibat dalam dakwaan kehilangan secara paksa Hilmy dan Sitepu.

Katanya, polis masih menyiasat kes yang diklasifikasikan sebagai kes orang hilang dan semua langkah telah diambil dan masih diambil untuk mengesan pasangan itu.

“Tindakan kehilangan secara paksa tidak timbul dan tiada bukti dikemukakan semasa siasatan ini,” katanya.

Dzaffir berhujah bahawa keterangan daripada beberapa anggota polis semasa inkuiri Suhakam menunjukkan tiada unsur jenayah di sebalik kehilangan pasangan itu.

Dia mendakwa terdapat kemungkinan besar Hilmy dan Sitepu cuba meninggalkan Malaysia melalui laluan tidak rasmi berikutan pihak berkuasa sedang menyiasat paderi berkenaan berhubung laporan menghina agama yang dibuat terhadapnya.

“Laluan yang tidak digazetkan (keluar dari Malaysia) membawa risiko tinggi dan boleh membawa risiko kehilangan nyawa,” katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS