Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KKM: 42 AEFI tahap serius dilapor daripada 60 juta suntikan diberikan
Diterbitkan:  Jan 20, 2022 9:25 PM
Dikemaskini: 3:38 PM

Nota editor: Artikel ini telah diperbetulkan untuk menyatakan bahawa kementerian telah menerima 896 laporan AEFI berkaitan dengan dos penggalak, bukan 839. Kesilapan dikesali.


Daripada lebih 60 juta dos vaksin Covid-19 yang diberikan kepada orang ramai, Kementerian Kesihatan berkata ia telah menerima 24,286 laporan berhubung kesan advers susulan imunisasi (AEFI) setakat 15 Jan.

Ini bersamaan 0.4 laporan AEFI untuk setiap 1,000 dos vaksin yang diberikan.

Dalam sidang media petang ini, Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata sebahagian besar daripada laporan ini tidak serius.

"Kebanyakan kes AEFI yang dilaporkan adalah kesan sampingan yang minimum," katanya.

Daripada 24,286 laporan itu, Noor Hisham berkata mereka yang dikenal pasti sebagai "serius" berjumlah 42 kes.

Sementara itu, daripada 9.2 juta dos penggalak yang diberikan kepada orang ramai, Noor Hisham berkata kementerian menerima 896 laporan AEFI.

Ini mewakili 0.1 laporan AEFI untuk setiap 1,000 dos vaksin penggalak yang diberikan.

Semasa sidang media hari ini, Noor Hisham turut berkongsi laporan kanak-kanak yang mengalami keradangan otot jantung (miokarditis) berikutan vaksinasi Covid-19 berjumlah antara satu hingga tiga kanak-kanak bagi setiap 100,000 dos yang diberikan.

Kes penjara Kajang

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menjelaskan bahawa kementerian memandang serius laporan AEFI.

“Siasatan bermula dengan jawatankuasa pharmacovigilance sebelum melalui dua jawatankuasa lain.

"Ia juga melibatkan bedah siasat atau pandangan klinikal oleh hospital sebelum kita boleh membuat kesimpulan sama ada kesannya disebabkan vaksinasi atau tidak," katanya.

Sementara itu, Noor Hisham memberi maklumat terkini mengenai siasatan kementerian terhadap 18 laporan AEFI dalam kalangan tahanan di penjara Kajang.

Daripada 18 kes itu, kementerian mendapati tiga tahanan mengalami AEFI "kemungkinan" akibat vaksin Covid-19.

"Belum ada bukti yang jelas dan kukuh mengenai perkara ini untuk mengesahkan atau menolak sepenuhnya kemungkinan kesan advers yang dialami adalah disebabkan oleh vaksin," katanya.

Daripada baki 15 laporan, kementerian membuat kesimpulan bahawa 10 bukan disebabkan oleh vaksin itu.

Lima lagi laporan, termasuk dua kematian, masih disiasat.

Lihat Komen
ADS