mk-logo
Berita
Jaguh-jaguh badminton dunia kesal cara BAM layan Zii Jia, Jin Wei
Diterbitkan:  Jan 22, 2022 1:54 AM
Dikemaskini: 4:53 AM

Rakan-rakan antarabangsa pemain badminton Lee Zii Jia tidak berpuas hati dengan cara dia dilayan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Bekas juara Piala Thomas Hans-Kristian Vittinghus dari Denmark dan kini pemain perseorangan ranking 22 dunia menyifatkan keputusan BAM menggantung Lee dan pemain perseorangan wanita Goh Jin Wei daripada perlawanan antarabangsa sebagai "malapetaka".

Vittinghus berkata Lee dan Goh tidak melakukan kesalahan tetapi mereka terpaksa mengorbankan dua tahun kerjaya mereka pada kemuncak keemasan mereka.

"Mereka mahu mengikut haluan mereka sendiri. Pilih jurulatih mereka sendiri, persediaan latihan mereka sendiri, jadual kejohanan mereka sendiri, buat tawaran penajaan mereka sendiri dan sebagainya.

“Pada asasnya mereka mahu mencari rezeki dengan bermain badminton secara profesional. Sejujurnya, bagaimana itu menjadi jenayah?

“Mereka tidak melakukan apa-apa pun untuk memburukkan sukan mahupun negara mereka,” tulis Vittinghus pada hantaran di laman Facebooknya.

Catatan Facebook Vittinghus telah menerima 1,700 komen dan 7,400 perkongsian sejak disiarkan 12 jam lalu.

Viktor Axelsen (gambar, bawah), seorang lagi pemain Denmark dan pemain perseorangan nombor satu dunia sekarang, menyifatkan nasib yang perlu dilalui oleh Lee dan Goh sebagai "gila".

"Bayangkan diri anda berada dalam kedudukan di mana anda tidak berasa gembira di tempat kerja anda sekarang dan anda mahu sesuatu berubah.

"Anda pergi meluahkan fikiran anda kepada bos anda dan memberitahu dia yang anda mahu berhenti dan mencari kerja di tempat lain.

"Bagaimanapun bos anda tidak berpuas hati dengan keputusan anda dan memandangkan mereka berkuasa melarang anda memohon pekerjaan dalam bidang anda, mereka mungkin meneruskan dan berbuat demikian. Anda hanya perlu tunggu dan lihat.

"Dengarkan betapa gilanya hal ini. Ini tahun 2022. Adakah ini yang kita mahukan untuk sukan kita," soal Axelsen di Twitter.

Hantaran Axelsen malam tadi telah menerima 2,530 ciapan semula dan 5,280 tanda suka pada masa penulisan.

BAM memutuskan untuk tidak menurunkan Lee dan Goh (gambar, bawah) dalam mana-mana kejohanan antarabangsa selepas kedua-duanya memutuskan untuk meninggalkan persatuan itu dan menjadi pemain profesional.

Kejohanan utama semuanya dianjurkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) - badan induk antarabangsa sukan yang diiktiraf oleh Majlis Olimpik Antarabangsa.

Lee, 23, kelahiran Kedah, dianggap sebagai pemain badminton terbaik Malaysia ketika ini.

Goh, bekas juara remaja dunia mengejutkan dunia badminton, apabila mengumumkan persaraannya daripada sukan itu pada Sept tahun lalu ketika berusia 21 tahun.

Vittinghus membayangkan Lee dan Goh kini mempunyai tiga pilihan: Berhenti main badminton, bermain untuk negara lain atau membawa perkara itu ke mahkamah.

"Apapun pilihannya, pemain berkenaan dalam keadaan tidak bagus," tulis Vittinghus.

Jelasnya, walaupun pemain berpindah ke negara lain, ia memakan masa sekurang-kurangnya 12 bulan sebelum pemain itu boleh bermain di peringkat antarabangsa semula.

"Untuk berpindah dari negara asal anda hanya untuk mengejar impian anda itupun sudah gila kerana badan negara anda menggunakan kuasa sepenuhnya dan tidak ada keadilan buat diri mereka.

"Saya sedar persatuan Malaysia telah memupuk pemain-pemain ini sejak mereka muda. Membayar mereka, melatih mereka dan menampung perbelanjaan mereka. Tetapi bukankah membantu pemain muda dan mengembangkan sukan itu adalah tugas sebuah badan negara?

"Mengapa membantu pemain datang dengan sekatan badan kebangsaan memutuskan sama ada anda boleh bertanding dalam sukan itu atau tidak? Itu gila.

"Semua orang kalah dengan peraturan ini. Keputusan seperti hari ini adalah malapetaka langsung untuk badminton," katanya.

Kehilangan Lee dalam kejohanan badminton antarabangsa, kata Vittinhus, adalah satu tamparan hebat di peringkat global dan di Malaysia.

Dia menyifatkan Lee sebagai salah seorang "atlet yang paling boleh dipasarkan" dalam sukan itu.

"Dia berkelakuan baik, dia bersaing untuk gelaran terbesar di dunia dan dia dari salah satu pasaran terpenting untuk sukan kami," kata Vittinghus.

Vittinghus juga mengkritik BWF kerana mengenakan peraturan yang hanya membenarkan badan negara menentukan siapa yang akan mewakili negara mereka.

"Mengapa persekutuan memutuskan siapa yang boleh menyertai kejohanan 'terbuka'? Kemudian ia bukan kejohanan terbuka sebenarnya, bukan begitu?

"Saya benar-benar berharap BWF segera menyedari ini tidak boleh dilaksanakan untuk masa depan.

"Persekutuan badminton negara tidak boleh memegang kuasa seperti ini. Saya tahu banyak persekutuan tidak akan menggunakan kuasa ini untuk menyekat pemain mereka sendiri daripada bertanding. Tetapi ia tidak sepatutnya menjadi satu kemungkinan langsung," katanya.

Penyelesaiannya, kata Vittinghus, mungkin adalah untuk mengembangkan bidang badminton yang berdaya saing.

"Mungkin juga dengan mencipta kejohanan profesional baru," tulisnya.

Lihat Komen